Zaman berubah dan teknologi berkembang, kalau dulu pembesar suara atau speaker digunakan sekadar untuk mendengar muzik, hari ini ia telah menjadi lebih daripada itu. Peranti tersebut kini adalah sebahagian daripada gaya hidup dan juga dekorasi rumah, itulah yang dibawakan oleh Samsung melalui Music Studio 5.
Rekaan dan spesifikasi

Peranti ini tampil dengan rekaan yang minimalis dan unik yang direka oleh Erwan Bouroullec, pereka dari Perancis. Samsung Music Studio 5 bukan sahaja direka untuk mendengar muzik tetapi turut menjadi sebahagian daripada hiasan atau dekorasi rumah.

Elemen paling menonjol pada pada Music Studio 5 adalah rekaan ‘The Dot’ yang diletakkan di tengah-tengah speaker. The Dot bukanlah sekadar elemen biasa, tetapi ia menjadi titik utama di mana bunyi dikeluarkan, menggabungkan rekaan artistik dengan teknologi audio.

Peranti ini menggunakan kemasan atau binaan plastik dengan susunan butang boleh sentuh pada bahagian atas. Menggunakan rekaan butang yang minimalis dengan lima butang tersedia iaitu dua butang suara, butang play/pause, butang switch input dan butang untuk mikrofon. Tiada alat kawalan jauh yang disertakan namun peranti ini boleh dikawal melalui aplikasi Samsung Sound atau Samsung SmartThings.
Dari segi sambungan, ia menyokong Bluetooth 6.0, Wi-Fi dan Optical-In, selain menyokong AirPlay, Google Cast, Spotify Connect dan Tidal Connect. Dari segi saiz, peranti ini berukuran 251 × 283.5 × 137mm dengan berat sekitar 2.4kg. Secara keseluruhan, rekaan yang digunakan pada Music Studio 5 adalah cukup menarik dan unik boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis dekorasi.
Prestasi dan bunyi

Music Studio 5 mampu menghasilkan bunyi yang sangat baik daripada apa yang dijangka berdasarkan saiznya. Menggunakan tiga driver dengan saluran audio 2.0, dibantu teknologi AI Dynamic Bass Control untuk menghasilkan bass yang lebih penuh.

Walaupun tiada subwoofer terbina, peranti ini masih mampu menawarkan bass yang baik dan cukup untuk kegunaan harian. Pada masa sama, terdapat juga fungsi seperti AI Adaptive Sound, 7-band EQ dan SpaceFit Sound Pro membolehkan bunyi dilaraskan mengikut kandungan serta ruang.
Tidak ketingalan, Music Studio 5 juga menyokong Dolby Atmos dan Hi-Res Audio sehingga 24-bit/96kHz, membolehkan ia menghasilkan bunyi yang lebih terperinci dan semula jadi apabila memainkan audio dari sumber yang berkualiti tinggi.

Secara keseluruhan, bunyi yang ditawarkan pada Music Studio 5 boleh dikatakan cukup baik sesuai untuk mendengar muzik menonton video atau sebagai bunyi latar di rumah. Ia mungkin bukan pilihan untuk audiophile, tetapi prestasi yang diberikan cukup baik untuk pengguna yang mahukan gabungan bunyi yang bertenaga, bass yang baik dan ciri pintar.
Ciri tambahan

Selain prestasi dan bunyi, Music Studio 5 turut menawarkan beberapa ciri tambahan yang menarik. Antaranya ialah sokongan Stereo Play yang membolehkan dua unit digunakan sebagai speaker kiri dan kanan untuk menghasilkan bunyi yang lebih luas dan lebih baik.

Ia juga menyokong Group Play, membolehkan beberapa unit Music Studio 5 memainkan audio yang sama secara serentak. Ciri ini memerlukan semua peranti disambungkan dengan rangkaian Wi-Fi yang sama, sesuai untuk pengguna yang mahu memainkan audio yang sama pada ruang yang berbeza.
Music Studio 5 turut menyokong Q-Symphony dengan TV Samsung yang serasi, membolehkan speaker digabungkan dengan pembesar suara TV untuk menghasilkan pengalaman audio yang lebih luas. Dengan sokongan pelbagai ciri ini, Music Studio 5 bukan sekadar speaker untuk mendengar muzik, tetapi boleh dijadikan sebahagian daripada sistem audio rumah.
Kesimpulan

Secara keseluruhan, Music Studio 5 berjaya menawarkan sesuatu yang menarik dan berbeza dari kebanyakkan peranti dari segmen yang sama. Selain itu, peranti ini didatangkan dengan pakej yang lengkap dengan rekaannya yang unik, teknologi yang terkini dan menyokong pelbagai ciri pintar yang menarik. Sekiranya, anda mahu sesuatu yang unik dalam masa yang sama masih menawarkan teknologi audio yang terkini, Music Studio 5 mungkin jawapan yang tepat.