Buat yang tidak tahu, OnePlus mempunyai pelbagai segmen dari segi penawaran bagi membezakan kedudukan produk mereka. Peranti dengan nama OnePlus memfokuskan kepada segmen premium, sementara OnePlus Nord pula memfokuskan kepada harga yang lebih mampu milik.
Di bawah barisan OnePlus Nord, ia terbahagi kepada dua iaitu OnePlus Nord CE dan OnePlus Nord. Tidak seperti barisan OnePlus Nord CE (Core Edition), barisan OnePlus Nord menawarkan lebih banyak peingkatan spesifikasi dan fungsi yang lebih menarik.
Perbezaan tersebut dapat dilihat melalui penawaran terbaru pada OnePlus Nord 3 5G. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi 4 perkara menarik mengenai OnePlus Nord 3 5G.
Spesifikasi
Dari segi spesifikasi, OnePlus Nord 3 5G menawarkan peningkatan yang agak ketara berbanding model terdahulu. Dijana dengan cip Dimensity 9000 yang dibina dengan teknologi 4nm. Cip ini tampil dengan 8 teras secara keseluruhan dengan konfigurasi 1x Cortex-X2 (3.05GHz) + 3x Cortex-A710 (2.85GHz) + 4x A510 (1.80GHz) yang dipadankan dengan GPU Mali-G710 MC10.
Di atas kertas, cip Dimensity 9000 ini adalah sebaris dengan cip Google Tensor G2 yang digunakan pada siri Google Pixel 7 dan Pixel 7a. Bagi melengkapkan keupayaan pretasi, ia dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 256GB UFS 3.1.
Lebih menarik, konfigurasi RAM peranti ini boleh mencapai sehingga 28GB melalui RAM-Vita yang boleh ditambah secara maya sehingga 12GB. Bateri 5000mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 80W.
Sepanjang percubaan kami, prestasi OnePlus Nord 3 5G ini adalah sangat mengagumkan. Terasa seperti menggunakan sebuah peranti flagship, semua aplikasi dan permainan dapat dimainkan dengan sangat lancar. OnePlus mendakwa peranti ini mampu menjalankan 44 aplikasi secara serentak.
Rekaan
Dari segi rekaan, OnePlus Nord 3 5G tampil dengan rekaan yang sangat minimal, tetapi masih lagi mempunyai beberapa elemen yang menampakan ia seperti peranti premium. Tampil dengan rekaan sisi jenis rata dan nipis sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan selesa.
Rekaan panel belakang kini tampil sedikit melengkung dengan 2.8D yang memberikan lebih keselesaan berbanding dengan rekaan panel belakang jenis berkotak. Panel belakang peranti ini menggunakan binaan kaca dari Gorilla Glass 5 yang berkilat dengan kemasan glossy yang mudah meninggalkan kesan cap jari. Menjadikan peranti nampak comot apabila tidak menggunakan kerangka pelindung.
Selain itu, OnePlus Nord 3 5G kini hadir dengan butang ikonik OnePlus iaitu alert slider. Yang mana, sebelum ini ciri tersebut hanya tersedia pada peranti premium OnePlus sahaja. Ia juga kini menyokong penarafan kalis debu dan air IP54. Secara keseluruhan, rekaan OnePlus Nord 3 5G ini boleh dikatakan menarik, pilihan warna Misty Green pada peranti menjadikan ia lebih unik.
Skrin
Untuk skrin, OnePlus Nord 3 5G hadir dengan skrin Fluid AMOLED FHD+ bersaiz 6.74-inci. Turut menyokong paparan 120Hz dengan keupayaan dinamik antara 40Hz ke120Hz. Melalui keupayaan dinamik, ia membolehkan paparan berubah bergantung kepada keperluan sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan bateri.
Selain itu, skrin OnePlus Nord 3 5G ini turut hadir dengan sokongan sRGB dan HDR10+. Sekaligus dapat memberikan pengalaman menonton yang lebih baik pada aplikasi Netflix dan Amazon Prime yang menyokong kandungan HDR10+.
Rekaan skrin yang digunakan pada peranti adalah jenis rata dengan rekaan bezel yang nipis dan simetri. Dengan rekaan sebegitu, ia menjadi skrin peranti ini tampak lebih cantik dan mewah. Selain itu, skrin peranti turut dilindungi dengan kaca dari jenis Dragontrail yang lasak dan tahan hentakan.
Keupayaan dan kemampuan skrin pada OnePlus Nord 3 5G boleh dikatakan sangat baik. Dengan rekaan jenis rata, bezel yang nipis dan simetri sememang akan menjadi pilihan kebanyakkan pengguna.
Kamera
Dari segi fotografi, OnePlus Nord 3 5G dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama Sony IMX980 50MP + 8MP ultra lebar + 2MP makro. Yang mana, sensor IMX980 ini turut digunakan pada model OnePlus 11. Manakala, untuk swafoto ia hadir dengan sensor 16MP.
Secara keseluruhan, kemampuan kamera pada OnePlus Nord 3 5G adalah agak baik. Untuk gambar dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan baik dengan warna yang dihasilkan agak vibrant dalam masa yang sama tahap perincian masih dapat dikekalkan.
Sementara untuk keadaan kurang cahaya, OnePlus Nord 3 5Gdilihat masih lagi dapat memberikan hasil imej yang baik, namun agak struggle untuk mengekalkan perincian pada imej.
Terdapat juga pelbagai mod kamera yang dimuatkan seperti Film, Extra HD, Macro, Pro, Dual-view video dan lain-lain. Dari segi rakaman video, ia mampu menyokong rakaman sehingga 4K 60fps. Manakala, untuk rakaman video hadapan menyokong hanya menyokong 1080p sahaja.