Close

Ulasan OPPO Reno10 Pro 5G – Resipi sama dengan hasil yang sangat berbeza

Siri OPPO Reno sememangnya antara siri yang ditunggu oleh kebanyakan pengguna. Siri ini memfokuskan kepada kemampuan kamera dalam masa yang sama membawakan spesifikasi yang terbaik sesuai dengan penawaran harganya.

Oleh yang demikian, pada kali ini OPPO melalui siri Reno10 tampil dengan membawa konsep dan resipi yang sama namun, dengan pendekatan yang berbeza dari sebelumnya.

Rekaan

Tidak seperti siri sebelumnya, OPPO Reno10 Pro 5G kini tampil dengan rekaan yang berbeza menjadikan ia lebih mudah untuk dikenali sebagai siri OPPO Reno baharu. Rekaan kali ini mungkin lebih tertumpu pada rekaan kamera belakang yang lebih menonjol.

Rekaan kamera kini menggunakan rekaan berbentuk seperti pil yang besar dan tebal, memuatkan tiga sensor kamera bersama lampu LED. Rekaan kamera yang digunakan sangat minimal menjadikan panel belakang peranti ini terlihat kemas. Tidak dilupakan, panel belakang peranti ini menggunakan kemas jenis kesat yang tidak mudah meninggalkan kesan cap jari.

OPPO Reno10 Pro 5G tampil dengan rekaan yang nipis dan ringan dengan berat hanya 185gram dan tebal 7.89mm. Untuk menampakkan peranti ini lebih mewah, OPPO menggunakan rekaan jenis melengkung pada skrin hadapan dan panel belakang. Dengan rekaan ini, peranti ini terasa nipis dan selesa bila dipegang. Namun, sejujurnya kami bukanlah penggemar kepada peranti dengan skrin melengkung.

Secara keseluruhan, rekaan baharu yang dibawakan OPPO pada Reno10 Pro 5G boleh dikatakan agak menarik. Nipis dan ringan sememangnya ramuan utama OPPO pada Reno10 Pro 5G, disulam pula dengan kemasan dan rekaan panel belakang yang minimal menjadikan peranti ini tampil berbeza.

Skrin

Untuk skrin, tidak dapat dinafikan yang skrin OPPO Reno10 Pro 5G tampil dengan teknologi skrin yang terkini dan cantik. Menyokong pelbagai fungsi menarik seperti paparan 120Hz, 10.7 billion color, HDR10+ dan dilindungi dengan kaca dari Dragontrail.

Namun begitu, peranti ini hadir dengan skrin jenis melengkung. Yang mana, ia mungkin tidak disukai oleh kebanyakkan pengguna. Tetapi, skrin peranti ini mempunyai lebih banyak sebab untuk disukai seperti rekaan bezel yang nipis dan simetri sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Selain itu, skrin peranti ini turut menawarkan hasil warna yang baik dan juga terang. Penggunaan di bawah matahari juga cukup baik dengan tulisan dan perincian masih dapat dilihat. Secara keseluruhan, keupayaan skrin pada OPPO Reno10 Pro 5G adalah amat baik dan setanding dengan barisan peranti premium lain.

Prestasi

OPPO Reno10 Pro 5G dijana dengan cip Snapdragon 778G, bukanlah cip terkini dari Qualcomm. Tetapi, cip ini adalah antara yang popular digunakan pada peranti kelas pertengahan pada 2023. Antara sebab cip ini masih digunakan adalah kerana kemampuan prestasinya yang baik, reliable dan penggunaan kuasa yang jimat.


Sepanjang percubaan kami, cip Snapdragon 778G telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Prestasi yang diberikan juga adalah sangat mengagumkan walaupun ia bukanlan cip terkini dari Qualcomm.


Tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika digunakan, penukaran aplikasi sangat lancar biarpun menjalankan lebih dari lima atau lapan aplikasi dibelakang. Pengalaman bermain permainan juga sangat menyeronokan kerana kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan lancar dan boleh dimainkan pada tetapan tinggi.


Bateri

Perkara yang tidak merisaukan mengenai OPPO Reno10 Pro 5G adalah kemampuan bateri. Dimuatkan dengan bateri sebesar 4600mAh yang dipadankan dengan pengecasan pantas SuperVOOC 80W yang mampu mengecas dari 0% ke 50% dalam masa 10 minit dan 0% ke 100% hanya mengambil masa 27 minit.

Sepanjang percubaan kami, keupayaan bateri yang ditawarkan pada OPPO Reno10 Pro 5G adalah sangat mencukupi untuk penggunaan seharian. Menawarkan kemampuan SOT secara purata 5 jam dan ke atas dengan penggunaan sekitar 10 hingga ke 12 jam. Namun, harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai corak penggunaan berbeza yang akan memberikan hasil yang juga berbeza.

Kamera

OPPO Reno10 Pro 5G hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP IMX890 + 32MP OIS telefoto + 8MP ultra lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 32MP. Biarpun tidak membawakan spesifikasi kamera yang sama seperti OPPO Reno10 Pro+ 5G namun, ia masih menawarkan hasil imej yang setanding dengan siri premium.




Keupayaan kamera utama peranti ini mungkin tidak lagi perlu dibincangkan, Kerana OPPO Reno10 Pro 5G menggunakan sensor yang sama digunakan pada peranti andalan seperti OPPO Find X6, OnePlus 11, OPPO N2 Flip dan Nothing Phone (2). Pada pelbagai situasi, hasil imej yang diberikan amat baik dengan warna dan perincian dapat dikekalkan.




Perkara yang membezakan OPPO Reno10 Pro 5G dengan peranti lain adalah ia hadir dengan kamera telefoto 32MP dari Sony IMX709. Keupayaan kamera telefoto peranti ini amat baik dengan hasil imej sangat terperinci dan setanding dengan kamera utama. 



Selain itu, keupayaan swafoto peranti ini juga amat baik. Imej yang dihasilkan pada keadaan kurang cahaya amat mengagumkan dengan perincian dan warna yang dapat dikekalkan. Apa yang boleh dikatakan, kekuatan OPPO Reno10 Pro 5G adalah pada keupayaan kamera dan OPPO berjaya melakukannya.

Kesimpulan

Pada ketika ini, boleh dikatakan peranti kelas pertengahan menawarkan spesifikasi yang hampir serupa. Namun, OPPO Reno10 Pro 5G menawarkan kemampuan yang sedikiat berbeza dari apa yang ada dipasaran.

Mungkin boleh disimpulkan yang OPPO Reno10 Pro 5G adalah sebuah peranti yang lengkap dengan kemampuan prestasi yang ditawarkan, keupayaan kamera setanding peranti andalan dan juga teknologi yang dimuatkan. Sekaligus menjadikan peranti ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dan juga penggunaan.

ARTIKEL BERKAITAN