Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini sedia untuk menawarkan kenderaan elektrik model baharu untuk pasaran Malaysia melalui model Hyundai IONIQ 6. Model ini merupakan pemenang kepada World Car of the Year, World Electric Vehicle dan World Car Design of the Year untuk 2023.
Dari segi rekaan, Hyundai IONIQ 6 tampil dengan rekaan yang futuristik dan tampak seperti rekaan Porsche 911. Masih mengekalkan lampu ikonik Parametric Pixel LED menjadikan model ini nampak lebih kemas. Selain itu, Hyundai IONIQ 6 turut menggunakan rekaan badan yang aerodinamik seperti sport sedan.
Untuk kemasan dalaman, ia hadir dengan sokongan Multi-color ambient light dengan 64 pilihan warna bersama 8 sistem pembesar suara dari BOSE. Menggunakan panel instrument supervision Cluster bersaiz 12.3″ yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut hadir dengan pilihan sunroof, namun, hanya tersedia untuk model AWD sahaja.
Di Malaysia, Hyundai IONIQ 6 ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Max RWD dan Max AWD. Untuk Max RWD, ia hadir dengan motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang yang mampu menghasilkan kuasa 168 kW dan 350 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 7.4 saat dan mampu bergerak sejauh 614 km (WLTP).
Manakala untuk Max AWD, ia hadir dengan motor elektrik berkembar, pacuan semua roda yang menghasilkan kuasa 239 kW dan 605 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 5.1 saat dan mampu bergerak sejauh 519 km (WLTP).
Kedua-dua varian dimuatkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 77.4 kWh, menggunakan sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia mengecas dari 0% ke 80% hanya dalam 18 minit sahaja dengan menggunakan pengecasan 350 kW. Turut menyokong pengecasan DC 50 kW dan AC 11 kw.
Untuk teknologi, Hyundai IONIQ 6 ini hadir dengan Hyundai Smart Sense dan Smart Cruise Control Stop and Go. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara sistem ABS, EBD, sistem peringatan tali pinggang keledar dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan bantuan mula mendaki (HAC),
Di Malaysia, Hyundai IONIQ 6 dijual pada harga bermula RM298,888 untuk Max RWD dan RM319,888 untuk Max AWD. Setiap pembelian akan menerima jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km.
Dengan harga jualan sekitar RM298K dan prestasinya, Hyundai IONIQ 6 dilihat bakal bersaing dengan Tesla Model 3 Perfomance. Namun, Hyundai mempunyai kekuatan yang tersendiri pada model IONIQ 6 dengan membawakan rekaan dalaman yang lebih menarik dan juga pengalaman pemanduan yang lebih baik.