Sony Malaysia kini sedia untuk menawarkan kamera kompak baharu untuk pasaran tempatan melalui model A6700. Melaluinya, ia hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi untuk pengimejan yang lebih baik bersama dengan fungsi yang menarik.
Dari segi rekaan, Sony A6700 masih lagi mengekalkan rekaan seumpama A6000. Namun, ia dimuatkan dengan sensor dan spesifikasi yang lebih baik. Dimuatkan dengan skrin 3-inci sesentuh yang boleh dipusing untuk melakukan rakaman swavideo dengan lebih mudah. Menggunakan EVF OLED dengan 2.36 juta titik. Tubuh peranti ini menggunakan bahan binaan aloi magnesium dengan berat tanpa lensa hanya 500 gram.
Dilengkapi dengan cip pemproses imej Bionz XR yang dipadakan dengan sensor 26MP Exmor-R APS-C bersama sistem penstabilan 5 paksi IBIS. Kamera ini menggunakan sistem pemfokuskan PDAF dengan 759 titik. Dari segi rakaman, ia menyokong tetapan 4K 120fps, terdapat mod Cinetone untuk rakaman video HDR, HLG dan mod S-Log3.
Ciri lain yang turut dibawakan adalah seperti mod pemfokusan haiwan, kenderaan, manusia, wajah dan mata. Untuk rakaman gambar ia menyokong sehingga 11FPS. Untuk port sambungan, ia hadir dengan USB 3.2 Gen 1, HDMI mikro dan slot kad SD UHS-II.
Di Malaysia, Sony A6700 dijual pada harga bermula RM7099 untuk tubuh sahaja, RM7799 untuk SELP1650 Kit Lens dan RM9199 untuk SEL18135 Kit Lens. Bagi yang berminat, pra-tempahan telahpun dibuka bermula hari ini sehingga 3 September 2023. Setiap pembelian akan menerima hadiah percuma bernilai RM712 yang berupa LCS-BBK, NP-FZ100 Battery dan 64GB SDCard.