Samsung melalui acara Galaxy Unpacked yang berlangsung hari ini telah mengumumkan generasi baharu peranti boleh-lipat mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold5. Tampil dengan sejumlah peningkatan spesifikasi dan rekaan yang lebih baik dari model sebelumnya.
Secara keseluruhan, Samsung Galaxy Z Fold5 tidak membawakan perubahan rekaan yang ketara dari model sebelumnya. Namun, ia kini hadir dengan teknologi engsel baharu yang membolehkan ia dilipat dengan lebih rapat dan kemas. Selain itu, ia kini lebih ringan dengan 253gram berbanding Galaxy Fold4 dengan 263gram.
Samsung Galaxy Z Fold5 hadir dengan skrin utama 7.6-inci Infinity Flex Dynamic OLED 2X beresolusi QXGA+ dengan paparan adaptif 1Hz-120Hz. Manakala, untuk skrin kedua ia tampil dengan saiz 6.2-inci Dynamic OLED 2X yang turut menyokong paparan adaptif 48Hz-120Hz.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy Z Fold5 dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Dimuatkan dengan kapasiti bateri 4400mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 25W, mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit sahaja.
Dari segi kemampuan kamera, Samsung Galaxy Z Fold5 hadir dengan tetapan tri-kamera iaitu 50 MP OIS lebar + 12 MP ultralebar + 10 MP telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan 4 MP di bawah skrin untuk skrin utama dan 10 MP untuk skrin kedua.
Spesifiasi lain yang turut dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Z Fold5 adalah seperti penarafan IPX8, menyokong stylus S-Pen, pembesar suara jenis stereo, Bluetooth 5.3, NFC dan Wi-Fi 6E. Samsung Galaxy Z Fold5 menjalankan sistem operasi One UI 5.1.1 yang berasaskan Android 13.
Di Malaysia, harga jualan bagi Galaxy Z Fold5 adalah bermula pada RM6,799 untuk 12GB/256GB, RM7,299 untuk 12GB/512GB dan RM8,299 untuk 12GB/1TB. Ditawarkan`dalam lima pilihan warna iaitu Icy Blue, Cream, Phantom Black, Gray dan Blue. Peranti ini akan ditawarkan di Malaysia bermula 18 Ogos 2023 ini.