Jenama kenderaan elektrik popular dari China iaitu BYD, kini sedia untuk menawarkan satu lagi model kenderaan elektrik di Malaysia selepas BYD Atto 3. Model baharu yang dimaksudkan adalah BYD Dolphin.
BYD Dolphin ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard Range dan Extended Range. Kedua-dua model menggunakan rekaan serba baharu melalui BYD e-Platform 3.0 yang menjanjikan kelebihan dari segi kecerdasan, kecekapan, keselamatan dan estetika. Selain itu, kedua-dua model ini dikuasakan dengan motor tunggal namun, menghasilkan pengeluaran kuasa yang berbeza.
Untuk Standard Range, ia mampu menghasilkan kuasa 70kW (94hp) dengan tork pada 180Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 12.3 saat. Dimuatkan dengan bateri 44.9kWh yang mampu bergerak sejauh 340km (WLTP). Menyokong pengecasan pantas DC pada 60kW dan pengecasan AC pada 7kW.
Manakala untuk Extended Range, ia mampu menghasilkan pengeluaran kuasa yang lebih tinggi dengan 150 kW (201hp) dengan tork pada 310Nm. Memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 7 saat sahaja. Dimuatkan dengan bateri 60.48kWh yang mampu bergerak sejauh 427km (WLTP). Menyokong pengecasan pantas DC pada 80kW dan pengecasan AC pada 7kW.
Dari segi keselamatan, BYD Dolphin membawakan sejumlah ciri keselamatan yang sama seperti yang ditawarkan pada EV premium. Antaranya adalah 6 beg udara, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Support (LKS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Automatic Emergency Braking System (AEBS), Blind Spot Detection (BSD) dan lain-lain.
Untuk harga jualan, BYD Dolphin Standard Range dijual pada harga RM99,999 dan untuk BYD Dolphin Extended Range pula adalah RM124,900. Dari segi jaminan, ia didatangkan dengan jaminan kilang selama 6 tahun atau 150,000 km, manakala bateri Blade EV mempunyai jaminan selama 8 tahun atau 160,000 km.
Bagi yang berminat, BYD Dolphin ini akan dipamerkan secara umum di 1 Utama bermula 28 hingga 30 Julai 2023. Terdapat juga program pandu uji sekiranya anda berminat untuk mencuba.