RedMagic Malaysia telah menjadualkan acara pelancaran peranti baharu mereka iaitu Redmagic 8S Pro yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini. Yang mana peranti ini telahpun dilancarkan lebih awal untuk pasaran China.
Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Sekiranya merujuk kepada spesifikasi yang dibawakan untuk pasaran China, RedMagic 8S Pro ini hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang lebih berkuasa dengan 3.36Ghz dan GPU yang dipertingkat kepada 719Mhz.
Dilengkapi dengan RAM sehingga 12GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0. Bateri 6000mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 80W.
Dari segi fotografi, ia hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP ultra lebar + 2MP makro. Sementara untuk swafoto, ia dilengkapi dengan sensor 16MP. Selain itu, Redmagic 8S Pro akan menjalankan sistem operasi RedMagicOS 8.0 yang berasaskan Android 13.
Sebagai perbandingan, di China, RedMagic 8S Pro dijual pada tanda harga bermula sekitar CNY3999 (RM2586) untuk model asas.