Huawei secara rasmi telahpun menawarkan jam tangan pintar baharu untuk pasaran tempatan melalui model Huawei Watch 4 Pro. Yang mana, ia hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi, reka bentuk dan teknologi yang lebih baik.
Rekaan dan binaan
Huawei Watch Pro 4 tampil dengan rekaan berbentuk bulat dengan skrin LTPO AMOLED bersaiz 1.5-inci dengan resolusi 466 x 466 piksel. Secara peribadi, kami menyukai rekaan jam berbentuk bulat yang menjadikan ia lebih elegen dan sporty berbanding rekaan segi empat. Namun, ini adalah pendapat kami sahaja.
Premium, itu mungkin perkataan yang sesuai untuk digambarkan pertama kali melihat peranti ini. Tampil dengan rekaan yang sangat menonjol lebih-lebih pada rekaan tubuhnya yang tebal, menggunakan kemasan dari Tatinium gred Aeroangkasa yang menampak Huawei Watch 4 Pro berada dalam kelas yang tersendiri.
Dipadankan pula dengan tali kulit berwarna coklat gelap menjadikan Huawei Watch 4 Pro sangat sesuai untuk digayakan dengan pelbagai penampilan.
Selain itu, skrin peranti ini turut dilindungi dengan kaca dari Spherical Sapphire Glass yang menjanjikan perlindungan pada tahap tertinggi.
Untuk kawalan, terdapat dua butang pada Huawei Watch 4 Pro yang diletakkan di sebelah kanan. Satu daripadanya adalah butang digital crown yang boleh diputar, digunakan untuk menatal dan mengakses.
Sementara, satu lagi butang adalah butang pintasan yang boleh diubah suai untuk meletakkan fungsi yang boleh diakses dengan hanya sekali tekan.
Secara keseluruhan, rekaan dan binaan pada Huawei Watch 4 Pro sememangnya amat baik. Namun, Huawei Watch 4 Pro adalah terlalu tebal dan agak berat menjadikan ia sedikit kurang selesa ketika melakukan aktiviti senaman atau sebagainya. Selain daripada itu, peranti ini adalah sangat memuaskan.
Perisian
Selain binaan dan rekaan, bahagian perisian juga adalah perkara menarik yang dibawakan oleh Huawei pada Watch 4 Pro. Menjalankan sistem operasi Harmony OS 3.0 yang tampil dengan pelbagai ciri baharu menjadikan peranti ini lebih menarik dan interaktif.
Muka jam kini boleh diubah suai dengan lebih terperinci dan terdapat lebih dari 100 widget yang ditawarkan merangkumi kesihatan, kecergasan dan juga gaya hidup. Untuk mengakses widget, anda hanya perlu meleret ke kiri dan menatal untuk mendapatkan widget yang diinginkan.
Fungsi yang kami paling suka adalah Quick bar, fungsi ini memberikan anda akses pantas kepada ciri yang paling kerap digunakan lebih menarik fungsi ini boleh diubah suai mengikut kepada keperluan.
Terdapat juga fungsi floating task ball, membolehkan semua aktivti yang dibuka boleh di minimumkan dan boleh diakses dengan hanya menekan kembali aktivit tersebut.
Untuk ciri kesihatan dan kecergasan, peranti ini dimuatkan pelbagai ciri seperti pemantauan kadar degupan jantung, ECG, SpO2, pemantauan tidur, tahap stress harian dan menyokong lebih dari 100 mod sukan secara terbina.
Selain itu, terdapat juga fungsi Health Glance yang menempatkan semua maklumat kesihatan dalam satu tempat, memudahkan untuk memeriksa laporan kesihatan.
Dari segi sambungan Bluetooh, Wi-Fi dan juga GPS tiada sebarang masalah yang dihadapi. Semua sambungan dapat digunakan dengan baik. Huawei Watch 4 Pro ini turut menyokong sambungan melalui eSim namun, tidak digunakan dalam ulasan kami.
Secara keseluruhan, sistem operasi yang digunakan pada Huawei Watch 4 Pro adalah baik. Namun, pengguna baharu mungkin perlu mengambil masa yang sedikit lama untuk menyesuaikannya, selepas itu semuanya akan menjadi lebih mudah.
Bateri
Dari segi ketahanan bateri, Huawei menyatakan yang Huawei Watch 4 Pro ini mampu bertahan sehingga 4.5 hari dalam mod standard dan mampu bertahan sehingga 21 hari dalam mod ultra-battery life.
Dalam percubaan kami, dalam mod standard ia mampu mencapai lebih dari 5 hari penggunaan namun, anda perlu menggunakan muka jam yang kurang interaktif dan dinamik. Sekiranya, menggunakan muka jam yang lebih interaktif dan dinamik ketahanan bateri akan menurun kepada bawah dari 4.5 hari penggunaan.
Dalam mod ultra-battery life, kami mendapat sekitar 20 hari penggunaan hampir kepada yang dinyatakan oleh Huawei. Secara keseluruhan, ketahanan bateri yang ditawarkan dengan fungsi yang dibawakan boleh Huawei pada Watch 4 Pro adalah amat baik. Terdapat sedikit peringatan, hasil ketahanan bateri mungkin berbeza mengikut kepada penggunaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Huawei Watch 4 Pro boleh dianggap sebagai salah jam tangan pintar terbaik yang ada di pasaran pada ketika ini. Atau mungkin boleh dikatakan sebagai jam tangan pintar yang lengkap dari segi spesifikasi, teknologi dan juga rekaan.
Walaubagaimanapun, masih terdapat ruang yang boleh ditambahbaik untuk menjadikan jam tangan pintar ini lebih baik dari segala aspek.