Close

Samsung Galaxy Watch6 Classic – Apa yang menarik?

Samsung telahpun melancarkan generasi baharu jam tangan pintar mereka iaitu Samsung Galaxy Watch6. Hadir dalam dua pilihan varian iaitu Galaxy Watch6 dan Galaxy Watch6 Classic, dengan varian paling premium dalam siri ini adalah Galaxy Watch6 Classic.

Samsung Galaxy Watch6 Classic tampil dengan beberapa peningkatan yang lebih baik dari segi rekaan dan spesifikasi berbanding dari model sebelumnya. Secara asasnya, peranti ini adalah penyambung kepada kejayaan dan legasi yang telah dibina oleh Samsung sebelum ini.

Tidak seperti model sebelumnya, yang hanya ditawarkan dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 45mm. Pada Samsung Galaxy Watch6 Classic, ditawarkan dalam dua pilihan saiz iatu 43 mm dan 47 mm. Ia juga hadir dalam dua pilihan saiz skrin iaitu 1.3-inci dan 1.5-inci dengan kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED yang dilindungi dengan sapphire glass tahan lasak.


Masih lagi menggunakan rekaan berbentuk bulat, yang menampakan ia lebih elegan dan sporty pada pendapat kami. Tapi apa yang lebih menarik adalah, Samsung membawakan kembali bingkai ikonik yang boleh diputar, membolehkan ia digunakan untuk melakukan navigasi dengan lebih mudah dan pantas. Ia juga adalah perkara yang kami suka mengenai Samsung Galaxy Watch6 Classic.



Tiada lagi binaan dari Titanium untuk Samsung Galaxy Watch6 Classic, ia kini menggunakan binaan dari Stainless Steel, menjadikan ia terasa sedikit berat berbanding model sebelumya. Namun begitu, peranti ini masih lagi selesa untuk digunakan ketika melakukan aktiviti atau sebagainya.



Untuk kawalan, terdapat dua butang yang diletakkan di sisi kanan Samsung Galaxy Watch6 Classic. Merupakan butang kuasa dan butang back yang kedua-dua diperbuat dari kemasan logam. Butang ini juga boleh diubah suai untuk dijadikan sebagai butang pintasan.


Samsung Galaxy Watch6 Classic ini dikuasakan dengan cip pemproses Exynos W930 yang dipadankan dengan 2GB RAM dan storan dalaman 16GB. Samsung mendakwa yang Galaxy Watch6 Classic ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 18% lebih baik dari model sebelumnya.



Dari segi ketahanan, Samsung Galaxy Watch6 Classic menyokong penarafan IP68, ketahanan tentera MIL-STD-810H dan 5 ATM. 


Hadir dengan kapasiti bateri yang berbeza iaitu 300mAh atau 452mAh, bergantung kepada saiz. Untuk yang unit kami terima ia menggunakan kapasiti bateri 300mAh yang mampu bertahan sehingga 40 jam, bergantung kepada penggunaan. 


Untuk mendapat ketahanan bateri yang lebih panjang anda perlu menyahaktifkan beberapa tetapan seperti AOD, GPS, kecerahan skrin dan sebagainya. Dari segi pengecasan, Samsung mendakwa yang Galaxy Watch6 Classic mampu mengecas 45% hanya dalam 30 minit sahaja.


Samsung Galaxy Watch6 Classic ini turut hadir dengan beberapa peningkatan dari segi perisian dan juga sokongan penderia yang lebih baik.Ia juga merupakan jam tangan pintar terawal yang menyokong penjejakan kesihatan lengkap yang merangkumi ECG, Heart rate & HR alert, tekanan darah, ramalan kitaran haid, pemantauan tidur dan fall detection.



Selain itu, ia juga turut menyokong pelbagai fungsi penjejakan kesihatan lain. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai lebih dari 90 mod latihan yang berbeza dan mampu mengesan mod latihan secara automatik.



Samsung Galaxy Watch6 Classic merupakan jam tangan pintar pertama yang menjalankan Wear OS 4 dengan antaramuka One UI 5. Menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik, memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu keselamatan, kecergasan dan juga pemantauan tidur.

ARTIKEL BERKAITAN