Menteri Pengangkutan Anthony Loke, menyatakan dalam beberapa bulan lagi aplikasi MyJPJ akan menyokong pembayaran secara atas-talian, memudahkan pengguna membuat pembayaran untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan juga Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Menurut beliau, pada ketika ini sistem pembayaran secara atas-talian untuk aplikasi MyJPJ berada dalam fasa ujian. Memerlukan masa yang lebih lama untuk memastikan sistem tersebut mampu menampung trafik digital yang tinggi bagi mengelakkan sebarang masalah selepas ia dilancarkan.
Beliau turut menyatakan yang lesen digital, Lesen Kenderaan Motor (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (e-LMM) diperkenalkan adalah untuk mengurangkan kesesakan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa yang sama dapat memudahkan rakyat.
Selain itu, rakyat juga masih boleh memilih untuk menggunakan lesen digital atau fizikal, berikutan kedua-duanya masih lagi disediakan. Untuk beralih kepada digital sepenuhnya, memerlukan masa dan pelbagai perkara diambil kira sebelum dapat dilaksanakan secara menyeluruh.