Apple dijangka akan memperkenalkan siri iPhone 15 pada September ini. Seperti kebiasaan ia akan ditawarkan dalam 4 pilihan varian iaitu iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max.
Terbaru, iPhone 15 Pro dilaporkan mungkin hadir dengan pilihan storan sehingga 2TB. Selain itu, tiada lagi penawaran storan bermula 128GB sebaliknya akan ditawarkan pada storan bermula dari 256GB dan ke atas.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah versi Standard iaitu iPhone 15 dan iPhone 15 Plus akan turut ditawarkan dengan pilihan storan sehingga 2TB atau sebaliknya. Atau mungkin, ia hanya akan ditawarkan pada storan bermula dari 256GB hingga 1TB.
Untuk penawaran semasa, iPhone 14 dan 14 Plus ditawarkan pada storan bermula dari 128GB hingga 512GB. Manakala, untuk iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max ia ditawarkan pada storan bermula 128GB hingga 1TB.
Peningkatan storan ini dilihat seiring dengan penawaran sokongan foto dan video berkualiti tinggi oleh Apple yang memerlukan lebih banyak ruang penyimpanan.
Walaubagaimanapun, laporan ini masih tidak dapat dipastikan kebenarannya. Namun, sedikit sebanyak ia mungkin memberikan gambaran awal mengenai siri iPhone 15.