Sumber : Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital |
Keselamatan siber pada ketika ini berada diparas yang membimbangkan. Berikutan dari itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dilaporkan sedang menilai keperluan keselamatan siber dalam organisasi dan akan mewujudkan jawatan pegawai perlindungan data bagi melindungi data peribadi individu.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, satu rang undang-undang untuk itu sedang dirangka dan akan dibawa kepada jemaah menteri seterusnya dijangka akan dibentangkan di Parlimen seawal Oktober atau selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.
Dengan mewujudkan rang undang-undang tersebut, ia dijangka akan memberikan kesan yang lebih baik dari segi pelindungan dan pengurusan data. Selain itu, dapat mengurangkan risiko kebocoran data dalam masa yang dapat meningkatkan keupayaan keselamatan siber di Malaysia.
Pada ketika ini, negara kekurangan golongan profesional dalam bidang keselamatan siber. Menjelang akhir tahun 2025, negara perlu mempunyai sekurang-kurangnya 27,000 pekerja mahir dalam bidang tersebut. Oleh yang demikian, kerajaan ketika ini sedang menambah baik sokongan pendidikan dalam bidang keselamatan siber.