Close

Pandangan awal Samsung Galaxy Tab S9 Ultra – Apa yang menarik?

Samsung adalah pengeluar yang konsisten dalam menawarkan peranti dari segmen tablet. Jadi tidak hairanlah sekiranya Samsung antara jenama yang popular dalam segmen tersebut. Bercakap mengenainya, Samsung telahpun melancarkan generasi baharu tablet mereka iaitu Siri Samsung Galaxy Tab S9.

Varian paling menarik semestinya varian paling premium iaitu Samsung Galaxy TabS S9 Ultra. Tampil dengan peningkatan spesifikasi dan semestinya fungsi serta rekaan yang lebih baik.


Untuk spesifikasi, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra dikuasakan dengan cip khas iaitu cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy.  Cip khas ini menggunakan teras utama yang lebih pantas iaitu 3.36GHz berbanding 3.2GHz pada versi biasa. Selain itu, terdapat juga peningkatan pada kelajuan GPU iaitu 719MHz berbanding 680MHz pada versi biasa.


Dari segi konfigurasi, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0 yang turut menyokong microSD sehingga 1TB. Dimuatkan dengan bateri sebesar 11,200mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W.


Menakjubkan, mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan prestasi yang ditawarkan pada Samsung Galaxy Tab S9 Ultra. Sepanjang percubaan ringkas kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat baik. Kebanyakkan permainan juga boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi.

Seperti namanya, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ini hadir dengan rekaan dan binaan yang mewah dan premium. Tablet ini menggunakan rekaan yang nipis dengan sisi jenis rata, digabungkan dengan bahan binaan dari armor aluminium yang lasak dan tahan hentakan. Lebih menarik, ia menyokong penarafan IP68 yang mampu bertahan selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter.

Samsung sememangnya sering menawarkan kualiti skrin pada tahap tertinggi. Untuk Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ia hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2x bersaiz 14.6-inci dengan resolusi 1848 x 2960 yang turut menyokong paparan 120Hz.



Rekaan bingkai skrin yang digunakan pada tablet ini boleh dikatakan agak nipis, sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Namun, dengan bingkai skrin yang nipis ia sedikit sukar untuk dipegang ketika digunakan. Skrin tablet ini turut menyokong HDR10+ dan Dolby Vision untuk pengalaman menonton yang lebih baik. Tablet ini turut menawarkan bunyi yang sangat baik melalui 4 pembesar suara dari AKG yang disusun secara simetri pada bahagian atas dan bawah.



Untuk kemasaan, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ini menggunakan kemasan jenis kesat pada bahagian sisi dan panel belakang. Menjadikan, tablet ini lebih sedap dan selesa untuk dipegang. Selain itu, dengan kemasan jenis kesat tiada lagi masalah kesan cap jari. Tidak ketinggalan, tablet ini turut menyokong S Pen baharu yang lebih pantas dan responsif.



Bagi fotografi, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra ini dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakanng dengan sensor utama 13MP f/2.0 lebar + 8MP f/2.2 ultra lebar. Manakala, swafoto hadir dengan rekaan jensi takuk dengan tetapan dwi-kamera dengan sensor 12MP f/2.2 lebar + 12MP f/2.4 ultra lebar. Untuk rakaman, tablet ini menyokong rakaman sehingga 4K 30fps.




Pada percubaan ringkas kami, kemampuan kamera pada tablet ini boleh dikatakan agak baik untuk penggunaan biasa. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera Samsung Galaxy Tab S9 Ultra.



ARTIKEL BERKAITAN