Samsung sentiasa hadir dengan penawaran yang menarik pada jam tangan pintar mereka. Tidak hanya hadir dengan pelbagai fungsi menarik tetapi, ia juga mempunyai pelbagai keistimewaan yang dapat memudahkan aktiviti harian dan sebagainya.
Jadi tidak hairanlah, jika kebanyakkan pengguna lebih memilih Samsung berbanding jenama lain. Berikutan dari itu, pada kali ini kami ingin berkongsi mengenai tiga perkara menarik dan tiga perkara kurang menarik mengenai Samsung Galaxy Watch6 Classic.
3 Perkara menarik
Skrin
Samsung Galaxy Watch6 Classic, ditawarkan dalam dua pilihan saiz iatu 43 mm dan 47 mm. Ia juga hadir dalam dua pilihan saiz skrin iaitu 1.3-inci dan 1.5-inci dengan kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED yang dilindungi dengan sapphire glass tahan lasak.
Tidak hanya menawarkan pelindungan yang lebih lasak melalui sapphire glass, Samsung turut menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik dengan kecerahan puncak kini dua kali ganda berbanding model sebelumnya iaitu 2000 nits. Sekaligus, memudahkan untuk kegunaan di bawah matahari.
Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan keupaayan skrin pada Galaxy Watch6 Classic sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan juga sentuhan yang responsif.
Prestasi
Dari segi prestasi, Samsung Galaxy Watch6 Classic ini dikuasakan dengan cip pemproses baharu W930 yang lebih baik dan lebih berkuasa. Selain cip baharu, Galaxy Watch6 Classic turut hadir dengan peningkatan kapasiti kepada 2GB RAM berbanding 1.5GB pada model siri Galaxy Watch 4 dan Watch 5.
Dengan penawaran cip baharu dan RAM yang lebih besar, Samsung mendakwa yang Galaxy Watch6 Classic ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 18% lebih baik dari model sebelumnya.
Sepanjang penggunaan, tiada sebarang masalah pretasi yang dihadapi. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat lancar dan baik. Pengalaman buka dan tutup aplikasi juga pantas tanpa sebarang isu lengah masa.
Sistem operasi
Samsung Galaxy Watch6 Classic hadir dengan sistem operasi terkini iaitu One UI 5 yang berasaskan kepada Android Wear OS 4. Merupakan jam tangan pintar terawal menjalankan Android Wear OS 4, memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu keselamatan, kecergasan dan juga pemantauan tidur.
Sistem operasi baharu itu, turut menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dengan beberapa perubahan yang dibawakan seperti antaramuka tetapan yang lebih menarik dan aplikasi kini lebih tersusun melalui apps drawer.
Selain itu, antaramuka One UI 5 juga lebih mudah untuk digunakan, tidak memerlukan masa yang panjang untuk menggunakannya, biarpun datang dari jenama jam tangan pintar yang berbeza. Samsung sememangnya pengeluar yang mempunyai sistem operasi yang baik pada semua peranti yang dihasilkan, jadi tidak hairanlah sukar untuk pengguna bertukar kepada peranti yang lain.
3 Perkara kurang menarik
Rekaan
Tiada perubahan ketara, mungkin ayat yang sesuai untuk digunakan pada Samsung Galaxy Watch6 Classic. Masih lagi menggunakan rekaan berbentuk bulat yang sama dan tiada elemen yang berbeza untuk menunjukkan anda menggunakan model yang terkini.
Biarpun, Samsung membawakan kembali bingkai ikonik yang boleh diputar. Namun, ia hanya perubahan yang sangat minimal dan hanya tersedia untuk model yang paling premium sahaja.
Secara keseluruhan, rekaan Samsung Galaxy Watch6 Classic bukan sesuatu yang buruk atau teruk. Namun, ia sedikit menghampakan pengguna yang menantikan sesuatu yang lebih menarik dan lebih baik dari Samsung.
Bateri
Ketika kebanyakan jam tangan pintar menawarkan ketahanan bateri sehingga 10 hari namun, tidak pada Samsung Galaxy Watch6 Classic. Ketahanan bateri yang ditawarkan pada Galaxy Watch6 Classic ini boleh dikatakan sekadar biasa sahaja.
Hadir dengan kapasiti bateri yang berbeza iaitu 300mAh atau 452mAh, bergantung kepada saiz. Samsung mendakwa yang peranti ini mampu bertahan sehingga 30 jam dengan Always On Display (AOD) dan meningkat kepada 40 jam tanpa AOD, bergantung kepada penggunaan.
Sekiranya, anda mengharapkan ketahanan bateri yang lebih panjang pada Galaxy Watch6 Classic ia mungkin sesuatu yang agak mustahil. Namun, jika anda tidak kisah mengenai ketahanan bateri, peranti ini mungkin sesuai untuk anda.
Fungsi terhad
Tidak dinafikan yang Samsung Galaxy Watch6 Classic tampil dengan pelbagai fungsi yang menarik. Namun, untuk mendapat penggunaan yang lebih baik, anda perlu menggunakan peranti dari Samsung.
Sekiranya, anda menggunakan jenama telefon pintar yang berbeza dan dipadankan Galaxy Watch6 Classic, terdapat beberapa fungsi yang tidak dapat dijalankan dengan baik. Selain itu, sambungan untuk peranti selain Samsung memerlukan langkah yang sedikit berbeza. Walaubagaimanapun, kebanyakan fungsi masih dapat digunakan dengan baik tanpa sebarang masalah.