Close

Perbezaan Tesla Model 3 (2017) dan Model 3 (2024) – Ini yang perlu anda tahu


Tesla secara rasmi mengumumkan kemas kini untuk model sedan popular mereka dengan memperkenalkan Model 3 (2024) yang turut dikenali sebagai “Project Highland”.


Tesla mendakwa, Model 3 (2024) ini hadir dengan 50% perubahan komponen berbanding versi awal. Berikutan dari itu kami ingin berkongsi mengenai perbezaan di antara Model 3 (2017) dan Model 3 (2024).


Selain rekaan dalaman dan luaran yang diberi nafas baharu, terdapat juga beberapa perbezaan lain seperti jarak gerak dan kelajuan maksimum.


Untuk Model 3 (2024), ia menawarkan peningkatan jarak gerak sekitar 22 km hingga 27 km berbanding Model 3 (2017). Sebagai perbandingan, Model 3 (2024) RWD kini mempunyai jarak gerak 513 km (WLTP) berbanding Model 3 (2017) iaitu 491 km. Manakala, untuk Model 3 (2024) long range AWD ia menawarkan jarak gerak 629 km (WLTP) berbanding 602 km.


Seterusnya adalah kelajuan maksimum, untuk Model 3 (2024) kelajuan maksimum kini diturunkan kepada 201 km/j pada kedua-dua varian berbanding Model 3 (2017) yang mempunyai kelajuan maksimum 225 km/j untuk RWD dan 223 km/j untuk long range AWD.


Dari segi pecutan 0 – 100 km/j ia masih lagi menawarkan kemampuan yang sama iaitu 4.4 saat untuk AWD dan 6.1 saat untuk RWD. Tiada perubahan dari segi kapasiti bateri dan juga pengecasan.


Terdapat juga pilihan rim dan warna baharu untuk Model 3 (2024). Untuk rim ia kini hadir dengan dua pilihan iaitu 18-inci Photon dan 19-inci Nova. Manakala, untuk pilihan warna baharu juga terdapat dua pilihan iaitu Ultra Red dan Stealth Grey.


Selain itu, Model 3 (2024) ini turut menawarkan peningkatan kecekapan aerodinamik sebanyak 8% berbanding Model 3 (2017). Tesla Model 3 (2024) ini boleh dipra-tempah di Malaysia dengan penghantaran dijangka bermula pada penghujung 2023.



ARTIKEL BERKAITAN