Apple secara rasmi menghentikan penawaran untuk iPhone mini. Mula diperkenalkan pada 2020 melalui siri iPhone 12 dan turut ditawarkan pada siri iPhone 13. Namun, pada siri iPhone 14 Apple tidak lagi menawarkan varian mini sebaliknya diganti dengan varian Plus.
Seiring dengan pelancaran siri iPhone 15, Apple telah mengemas kini penawaran mereka dan tidak lagi menawarkan iPhone 13 mini. Sekaligus, memberikan gambaran yang era iPhone mini telah menuju penghujungnya.
Penawaran iPhone mini dilihat lebih memfokuskan kepada pengguna yang suka kepada peranti dengan saiz yang kompak. Sejak mula diperkenalkan, prestasi jualan bagi iPhone mini adalah sangat teruk jika dibandingkan dengan model iPhone yang lain.
Namun begitu, Apple masih lagi menawarkan iPhone bersaiz kompak melalui model iPhone SE 2022 yang dijual pada harga bermula dari RM2249 dan mencecah sehingga RM2999.