OnePlus telahpun mengesahkan yang mereka akan melancarkan peranti lipat pertama mereka pada tahun ini. Peranti lipat ini akan dikenali sebagai OnePlus Open dan akan menggunakan rekaan seperti Galaxy Z Fold5 dan HONOR Magic V2.
Terbaru, dalam satu temu bual eksklusif di saluran YouTube Unbox Therapy. Pete Lau mengesahkan yang peranti lipat dari OnePlus iaitu OnePlus Open adalah OPPO Find N3. Walaupun menggunakan rekaan yang sama, kedua-dua peranti ini akan ditawarkan dalam strategi pemasaran yang berbeza.
Menurut beliau lagi, peranti lipat tersebut dibangunkan dengan gabungan teknologi dan kepakaran yang dimiliki oleh OPPO dan OnePlus. Peranti lipat ini menggunakan teknologi engsel yang boleh ditutup dengan rapat tanpa sebarang ruang.
Selain itu, engsel yang digunakan pada OnePlus Open kurang 31 komponen berbanding pada OPPO Find N2 sekaligus menjadikan ia 37% lebih ringan. OnePlus turut mengekalkan butang ikonik mereka iaitu alert slider pada OnePlus Open.
Dalam temu bual eksklusif tersebut, rekaan OnePlus Open turut diperlihatkan secara terperinci. Namun, untuk rekaan kamera ia tidak didedahkan dan disembunyikan dengan kotak kecil seperti kadbod.
OnePlus Open dijangka akan dilancarkan pada 19 Oktober ini secara global. Dengan hari pelancarannya yang semakin hampir, kami menjangkakan akan lebih banyak maklumat yang akan didedahkan. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.