Pada acara pelancaran Galaxy S23 FE, Samsung turut melancarkan beberapa produk di bawah penjenamaan FE iaitu Galaxy Tab S9 FE, Tab S9 FE+ dan Buds FE.
Untuk Galaxy Tab S9 FE, ia hadir dengan skrin LCD FHD+ bersaiz 10.9-inci dengan paparan 90Hz. Dijana dengan cip Exynos 1380 yang dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB.
Menggunakan kamera tunggal belakang dengan sensor 8MP dan kamera swafoto dengan sensor 12MP. Bateri 8000mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 45W. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti sokongan S Pen, penarafan IP68, Samsung Knox, Bluetooh 5.3, pembesar suara jenis stereo dan menjalankan Android 13.
Manakala untuk Galaxy Tab S9 FE+, ia hadir dengan skrin LCD FHD+ 12.4-inci dengan paparan 90Hz. Dikuasakan dengan cip Exynos 1380 yang dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 256GB.
Menggunakan tetapana dwi-kamera belakang dengan sensor utama 8MP + 8MP ultra sudut lebar dan kamera swafoto dengan sensor 12MP. Bateri 10,090mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 45W. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti sokongan S Pen, penarafan IP68, Samsung Knox, Bluetooh 5.3, pembesar suara jenis stereo dan menjalankan Android 13.
Dan yang terakhir adalah Galaxy Buds FE, merupakan TWS dengan keupayaan ANC mampu milik pertama yang ditawarkan oleh Samsung. Turut menyokong pelbagai fungsi menarik seperti codec audio AAC dan SBS, kawalan sentuh pada putik audio dan dilengkapi dengan 3 mikrofon secara terbina.
Dari segi ketahanan bateri, Galaxy Buds FE dimuatkan dengan bateri 479mAh yang mampu bertahan sehingga 6 jam dengan ANC dan 21 jam dengan bekas pengecas.
Di Malaysia, Galaxy Tab S9 FE dijual pada harga bermula RM2099 dan untuk Galaxy Tab S9 FE+ pula ditawarkan pada harga bermula RM2799. Manakala untuk Galaxy Buds FE, ia ditawarkan pada harga RM399. Bagi yang berminat, siri Galaxy Tab S9 FE dan Galaxy Buds FE akan mula ditawarkan bermula 10 Oktober 2023.