Close

Ulasan SONOS Move 2 – Smart speaker yang berbaloi dari semua segi

SONOS secara rasmi telahpun melancarkan generasi baharu pembesar suara pintar mudah-alih mereka iaitu Move 2. Tampil dengan sejumlah peningkatan yang lebih baik dari segi kualiti bunyi, rekaan dan juga fungsi yang lebih menarik.

Secara asasnya, Move 2 adalah penyambung kepada legasi yang telah dimulakan oleh SONOS dalam masa yang sama ia tampil dengan sesuatu yang berbeza dalam segmen pembesar suara pintar mudah-alih. 

Spesifikasi


SONOS Move 2 hadir dengan sejumlah peningkatan dari segi spesifikasi dan juga sambungan yang lebih baik dari model sebelumnya. Dijana dengan cip 4 teras yang dipadankan dengan 1GB RAM dan storan dalaman sehingga 8GB.

Dimuatkan dengan bateri 44Wh yang menjanjikan penggunaan yang lebih panjang berbanding model terdahulu. Terdapat satu sambungan USB-C yang digunakan untuk mengecas dan boleh digunakan sebagai powerbank untuk mengecas peranti elektronik lain.

Spesifikasi menarik lain yang turut hadir bersama dengan Move 2 adalah ia kini menggunakan sistem pembesar suara jenis stereo berbanding model pertama yang menggunakan pembesar suara jenis mono. Selain itu, ia kini menyokong pembesar suara 2.1 yang dipadankan dengan dua tweeter dan satu pembesar suara bass secara terbina. 

Dari segi sambungan, Move 2 kini tampil dengan sokongan sambungan yang lebih maju seperti Apple AirPlay 2, Auto Trueplay, Bluetooth 5.0 dan juga WiFi 6. Sambungan ini menjanjikan keupayaan Move 2 sentiasa dalam prestasi terbaik dan optimum. Selain itu, Move 2 turut menyokong penarafan IP56.

Rekaan

Dari segi rekaan, mungkin boleh dikatakan tiada perubahan drastik yang dilakukan pada Move 2. Namun begitu, masih terdapat beberapa perubahan kecil tetapi memberikan perbezaan yang ketara dari model sebelumnya.


Perkara paling ketara yang mungkin anda perasan mengenai Move 2 adalah ia kini menggunakan kemasan dan rekaan yang lebih premium serta lebih besar berbanding model sebelumnya. Selain rekaan yang premium, Move 2 juga kini lebih lasak dan kukuh serta menggunakan tapak jenis getah untuk memberikan cengkaman yang lebih baik ketika diletakkan di mana-mana permukaan.



Pada bahagian atas terdapat tempat pemegang yang nipis dan butang kawalan yang minimalis. Kami paling menyukai rekaan butang kawalan suara jenis sentuh yang digunakan pada Move 2. Rekaan ini memerlukan pengguna menyentuh butang dan meleretkan jari untuk mengubah tahap suara. Butang kawalan turut diubah dan menggunakan kawalan baharu iaitu backward, forward dan play/pause.  Terdapat juga lampu LED sebagai pemberitahuan mengenai status Move 2.



Untuk bahagian hadapan terdapat jeriji pembesar suara yang meliputi bahagian sisi kanan dan kiri. Manakala pada bahagian belakang ia menempatkan butang kuasa, butang Bluetooth, butang on atau off untuk mikrofon dan juga sambungan USB-C.


Secara keseluruhan, rekaan yang digunakan pada Move 2 adalah menarik dan cantik. Boleh disesuaikan dengan pelbagai dekorasi serta sesuai untuk kegunaan aktiviti luar atau sebagainya.

Prestasi dan bunyi

Untuk prestasi, SONOS mendakwa Move 2 mampu menawarkan jangka hayat bateri yang lebih baik iaitu sehingga 24 jam berbanding model sebelumnya. Ramuan utama menjadi jangka hayat bateri lebih panjang adalah kapasiti bateri  44Wh dan juga penggunaan kuasa yang efisien. Jadi, bateri bukan lagi masalah utama pada Move 2. Percubaan kami menggunakan Move 2 sekitar 10 jam, peratusan bateri turun sekitar 25% ke 30%. Namun, ia bergantung kepada penggunaan pengguna.

Kualiti bunyi pada Move 2 adalah suatu perkara yang menarik. Tidak seperti model sebelumnya, SONOS telah melakukan pelbagai penambahbaikan untuk menjadikan Move 2 sebagai pembesar suara pintar mudah-alih terbaik dalam kelasnya.

Sepanjang percubaan kami, pelbagai genre muzik telah kami dan apa yang boleh dikatakan Move 2 mempunyai karakternya tersendiri dan kualiti bunyi yang dihasilkan sememangnya sangat baik, seimbang dan terperinci. Setiap instrument yang dimainkan dapat didengar dengan jelas dan terperinci melalui kiri dan kanan pembesar suara.

Selain itu, Move 2 turut mempunyai soundstage yang luas dalam masa yang masih dapat menghasilkan kualiti bunyi yang jelas pada julat pertengahan sehingga ke treble. Dengan kualiti bunyi yang baik dan kuat, Move 2 turut sesuai untuk kegunaan aktiviti luar atau sebagainya.

Fungsi


Selain kualiti bunyi yang baik dan rekaan yang premium, Move 2 turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi menarik. Antaranya adalah seperti TruePlay, fungsi ini secara automatik akan menganalisis keadaan sekeliling melalui mikrofon seterusnya akan mengoptimumkan bunyi yang dihasilkan supaya tidak bergema.

Move 2 turut menyokong fungsi voice assistan melalui Amazon Alexa, AirPlay 2 dan juga EQ yang boleh dikawal melalui aplikasi SONOS. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong sambungan secara terus kepada peranti lain seperti komputer peribadi, TV, telefon pintar atau MP3 melalui USB-C.

Kesimpulan


Penambahbaikan yang dibawakan oleh SONOS pada Move 2 telah menjadikan pembesar suara pintar mudah-alih ini berada dalam kelasnya yang tersendiri. Secara keseluruhan, Move 2 menawarkan sesuatu yang lebih baik dari apa yang ditawarkan pada model sebelumnya. 

5 ramuan utama iaitu rekaan, kualiti bunyi, fungsi, bateri dan teknologi yang digunakan pada Move 2 telah menjadikan ia sebagai sebuah pembesar suara pintar mudah-alih yang serba boleh.

ARTIKEL BERKAITAN