Close

3 perkara menarik mengenai Samsung Galaxy Buds FE

Samsung Malaysia telahpun melancarkan Galaxy Buds FE untuk pasaran tempatan. Merupakan TWS dengan keupayaan ANC mampu milik pertama yang ditawarkan di bawah penjenamaan Fan Edition (FE). Melaluinya, ia hadir dengan spesifikasi yang mantap, fungsi yang menarik dan kualiti bunyi setanding TWS andalan Samsung.


Rekaan 



Galaxy Buds FE tampil dengan rekaan yang hampir sama seperti model TWS Samsung yang lain. Tampil dengan rekaan segi empat dengan kemasan jenis berkilat. Hadir dengan dua pilihan warna iaitu White dan juga Graphite. 

Satu perkara menarik mengenai Galaxy Buds FE ini adalah, untuk pilihan warna graphite ia hadir dengan kemasan dua tona warna yang berbeza iaitu putih di bahagian luar dan graphite di bahagian dalam. Sekaligus, menjadikan pilihan warna graphite ini lebih menarik dan unik.


Rekaan putik audio pada Galaxy Buds FE kini mempunyai nilai estetik yang lebih baik dengan penambahan rekaan jenis wings. Menjadikan ia lebih ergonomik, praktikal dan dapat mengurangkan risiko terjatuh ketika melakukan pelbagai aktiviti.


Selain itu, rekaan kawalan pada putik audio kini lebih rata sekaligus memudahkan pengguna untuk menatal dengan lebih baik dan lebih tepat. Galaxy Buds FE ini turut menyokong penarafan IPX4 membolehkan ia digunakan untuk aktiviti luar atau sukan air. Secara keseluruhan, Galaxy Buds FE ini adalah sebuah TWS yang kompak, premium dan juga ringan.


Bunyi



Dari segi kualiti bunyi, Galaxy Buds FE sememangnya mempunyai karakter bunyi yang tersendiri. Secara keseluruhan, bunyi yang dihasilkan adalah baik dan menyokong pelbagai profil bunyi seperti normal, bass boost, soft, dynamic, clear dan treble boost yang boleh ditetapkan melalui Galaxy Wearable.


Galaxy Buds FE ini turut menyokong fungsi ANC. Pada pendapat kami, fungsi ANC ditawarkan pada TWS ini adalah baik dan setara dengan penawarannya. Ia turut menyokong mod ambient yang boleh digunakan mengikut kepada kesesuaian.


Selain itu, Galaxy Buds FE ini mempunyai tiga mikrofon secara terbina sekaligus mampu menawarkan pengalaman panggilan suara yang lebih baik, lebih jelas dan dapat mengurangkan bunyi bising ketika bercakap. TWS ini turut menyokong codec AAC, SBC dan SSC.


Bateri


Galaxy Buds FE hadir dengan kapasiti bateri sebesar 479mAh. Melaluinya, ia mampu bertahan selama 30 jam untuk sekali cas dengan fungsi ANC dimatikan. Jangka hayat bateri menurun kepada 21 jam sekirannya menggunakan fungsi ANC. Untuk penggunaan yang berterusan ia mampu bertahan sehingga 6 jam dengan fungsi ANC diaktifkan.


Untuk pengecasan, ia menggunakan pengecasan jenis USB-C yang tersedia di dalam kotak. Tidak seperti TWS Samsung yang lain, Galaxy Buds FE tidak menyokong pengecasan tanpa wayar.


Pada percubaan kami, jangka hayat bateri pada Galaxy Buds FE adalah sangat baik, pada sesetengah keadaan ia mampu bertahan lebih dari apa yang ditawarkan. Namun, perkara tersebut bergantung kepada cara penggunaan.

Kesimpulan


Secara keseluruhan, Galaxy Buds FE boleh dikatakan sebagai salah satu TWS mampu milik yang terbaik di pasaran ketika ini. Hadir dengan sejumlah spesifikasi dan fungsi menarik serta mempunyai sentuhan premium seperti TWS andalan Samsung.


Sekiranya anda mencari TWS yang berbaloi dengan penawarannya, Galaxy Buds FE mungkin boleh diletakkan dalam senarai. 

ARTIKEL BERKAITAN