Close

Xiaomi Watch S3 dilancarkan – Menyokong eSIM, HyperOS dan bezel boleh ditukar

Pada acara yang sama, Xiaomi turut melancarkan jam tangan pintar baharu iaitu Xiaomi Watch S3. Tampil dengan peningkatan spesifikasi yang lebih baik, rekaan yang menarik dan menjalankan sistem operasi baharu HyperOS.

Xiaomi Watch S3 hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 1.43-inci dengan paparan 60Hz dan menyokong kecerahan puncak 600 nits. Menggunakan binaan aluminium yang dipadankan dengan bingkai dari binaan stainless steel.

Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Silver dan Black. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan varian eSIM yang menggunakan bingkai berwarna coklat. Menarik mengenai Watch S3 adalah ia menggunakan rekaan bingkai yang boleh ditukar dengan hanya memusingkannya. Selain itu, antara muka jam akan turut bertukar secara automatik mengikut kesesuaian.

Seperti jam tangan pintar lain, Watch S3 turut menyokong pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan seperti ECG, pemantauan tidur, pemantauan kadar degupan jantung, tekanan harian dan juga SpO2. Turut menyokong lebih dari 150 mod sukan secara terbina termasuk tarian, ski dan aktiviti luar.

 

Bateri 486mAh dimuatkan yang mampu bertahan sehingga 15 hari untuk model biasa dan 7 hari untuk model eSIM dengan sekali pengecasan. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah NFC, GPS, penarafan 5ATM, dwi-frekuensi GNSS dan menjalankan sistem operasi HyperOS.

Di China, Watch S3 dijual pada harga bermula sekitar CNY799 (RM521) untuk model biasa dan CNY999 (RM651) untuk model eSIM.

ARTIKEL BERKAITAN