Close

DJI Osmo Pocket 3 kini boleh dibeli di Malaysia dengan harga bermula RM2299

DJI secara rasmi telah melancarkan kamera gimbal bersaiz poket baharu iaitu Osmo Pocket 3. Tampil dengan sejumlah peningkatan spesifikasi yang lebih baik dan kemampuan kamera yang dipertingkat.

Osmo Pocket 3 hadir dengan skrin OLED bersaiz 2-inci yang boleh diputar bersama dengan sensor kamera CMOS 1-inci. Sensor kamera ini menjanjikan rakaman imej yang lebih baik dan lebih tajam.

Dari segi rakaman, Osmo Pocket 3 mampu merakam video pada resolusi 4K 120fps dengan pilihan format 10-bit D-Log M, 10-bit HLG dan mempunyai keupayaan untuk melakukan 4x zum digital.

Turut hadir dengan ciri ActiveTrack 6.0 yang menawarkan pilihan mod penjejakan seperti pembingkaian dinamik dan pengesanan muka secara automatik. Kualiti audio turut dipertingkat dengan 3 mikrofon tersedia secara terbina untuk rakaman audio stereo yang lebih baik dan turut menyokong DJI Mic 2 untuk rakaman Vlog, temu bual atau penstriman langsung.

Terdapat juga beberapa ciri lain seperti SpinShot, Motion Lapse dan Panorama Mode. Bateri 1300mAh dimuatkan yang mampu bertahan sehingga 166 minit untuk rakaman 1080p 24fps dan 116 minit untuk rakaman 4K 60fps.

Di Malaysia, Osmo Pocket 3 dijual pada harga bermula RM2299 untuk pakej asas dan meningkat kepada RM2959 untuk pakej Creator Combo. Bagi yang berminat, Osmo Pocket 3 boleh dibeli di semua pengedar rasmi DJI Malaysia termasuk Shopee dan Lazada.

ARTIKEL BERKAITAN