Close

Samsung Galaxy Tab S9 FE+ memang menarik, tapi…


Samsung akhirnya membawakan kembali tablet dari siri Fan Edition (FE) untuk pasaran tempatan selepas kali terakhir ia dilancarkan adalah pada 2021 melalui model Galaxy Tab S7 FE.


Berbeza dengan penawaran sebelum ini yang ditawarkan dalam satu pilihan varian sahaja. Pada kali ini, Samsung hadir dengan dua pilihan varian iaitu Galaxy Tab S9 FE dan Galaxy Tab S9 FE+. Sekaligus memberikan pengguna lebih banyak pilihan dengan penawaran harga yang lebih pelbagai.


Varian paling premium untuk siri ini semestinya adalah Galaxy Tab S9 FE+ yang tampil dengan kapasiti bateri, konfigurasi RAM dan storan dalaman yang lebih besar dari Galaxy Tab S9 FE.


Dari segi spesifikasi,Galaxy Tab S9 FE+ dikuasakan dengan cip Exynos 1380Cip ini menggunakan teknologi binaan 5nm dengan konfigurasi 8 teras iaitu 4x Cortex-A78 dengan kelajuan 2.4GHz dan 4x Cortex-A55 pada kelajuan 2.0GHz. Dipadankan dengan GPU Mali-G68.

Untuk konfigurasi, Samsung Galaxy Tab S9 FE+ dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB yang turut menyokong microSD sehingga 1TB. Bateri 10,090mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 45W. Tablet ini juga menyokong dwi-SIM melalui satu SIM fizikal dan satu e-SIM.

Prestasi mungkin perkara yang tidak perlu dirisaukan pada Galaxy Tab S9 FE+. Sepanjang percubaan ringkas kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat baik. Kebanyakkan permainan juga boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi.



Samsung sememangnya pengeluar yang mementingkan kepada rekaan yang mewah dan premium. Jadi tidak hairanlah kedua-dua elemen tersebut turut dimuatkan pada Galaxy Tab S9 FE+. Tablet ini menggunakan rekaan yang nipis dengan sisi jenis rata. Dipadankan dengan bahan binaan dari logam dengan kemasan jenis kesat menjadikan peranti ini lebih selesa bila dipegang. Lebih menarik, ia turut menyokong penarafan IP68.



Galaxy Tab S9 FE+ hadir dengan skrin LCD FHD+ bersaiz 12.4-inci dengan resolusi 2560 x 1600. Turut menyokong paparan 90Hz, warna gamut DCI-P3 dan low blue light untuk penjagaan mata.



Rekaan bingkai skrin yang digunakan pada tablet ini boleh dikatakan agak tebal namun masih lagi menawarkan pengalaman penggunaan yang baik. Dengan bingkai skrin yang agak tebal ia memudahkan tablet ini untuk dipegang ketika digunakan. Tablet ini turut menawarkan kualiti bunyi yang sangat baik melalui 2 pembesar suara dari AKG.



Dari segi kemasan, Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini hadir dengan kemasan jenis kesat pada bahagian sisi dan panel belakang. Menjadikan, tablet ini lebih sedap dan selesa untuk dipegang. Secara peribadi, kami sememangnya menyukai kemasan jenis kesat berbanding jenis kilat. Tidak ketinggalan, tablet ini turut menyokong S Pen baharu yang lebih pantas dan responsif yang tersedia di dalam kotak.



Bagi fotografi, Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 8MP f/2.0 lebar + 8MP f/2.2 ultra lebar. Manakala, swafoto hadir dengan kamera tunggal dengan rekaan jenis punch hole sensor 12MP f/2.2 lebar. Untuk rakaman, tablet ini menyokong rakaman sehingga 4K 30fps.

  

Kemampuan kamera pada tablet ini boleh dikatakan agak baik dan sesuai untuk kegunaan yang pelbagai. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera tablet ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa contoh gambar menggunakan kamera Samsung Galaxy Tab S9 FE+.

ARTIKEL BERKAITAN