Valve secara rasmi melancarkan kemas kini bagi konsol mudah alih mereka dengan memperkenalkan Steam Deck versi OLED. Tampil dengan beberapa peningkatan kecil disamping membawakan keupayaan skrin yang lebih baik berbanding model sebelum ini.
Steam Deck OLED ini hadir dengan skrin sedikit lebih besar iaitu 7.4-inci berbanding 7.0-inci pada versi LCD. Menjadikan bingkai skrin sedikit lebih kecil sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Namun begitu, tiada sebarang perubahan pada saiz keseluruhan Steam Deck OLED.
Selain skrin, ia turut hadir dengan pilihan storan yang lebih besar iaitu mencapai sehingga 1TB dan juga peningkatan kapasiti bateri yang lebih tinggi iaitu 50Wh yang menjanjikan ketahanan bateri yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Tiada perubahan dan peningkatan pada keupayaan CPU dan GPU yang ditawarkan pada Steam Deck OLED. Bermaksud, prestasi CPU dan GPU masih sama seperti versi LCD.
Steam Deck OLED ini akan mula dijual pada 16 November ini dengan harga bermula dari $549 (RM2591).