Close

Ulasan Galaxy Tab S9 FE Plus – Kemunculan semula yang lengkap dan mantap

Segmen tablet bukan lagi segmen pelengkap seperti tahun-tahun sebelum ini. Penawarannya kini lebih menarik tidak kira dari segi spesifikasi, fungsi atau reka bentuk. 

Jika sebelum ini, tablet hanya sesuai untuk tugasan yang terhad namun pada era masa kini tablet boleh dikatakan setaraf dengan keupayaan komputer peribadi. Samsung boleh dikatakan sebagai salah satu pengeluar yang konsisten dalam menawarkan tablet.

Rekaan

Dari segi rekaan, tiada perubahan ketara yang dibawakan pada Galaxy Tab S9 FE+ berbanding model sebelumnya. Namun begitu, terdapat beberapa perubahan kecil yang dibawakan bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Menggunakan rekaan berkotak dengan sisi jenis rata yang. Tablet ini boleh dikatakan agak nipis dan sangat selesa ketika digunakan. Dari segi kemasan, Galaxy Tab S9 FE+ menggunakan kemasan jenis kesat pada bahagian sisi dan panel belakang. Secara peribadi, kami sememangnya menyukai kemasan jenis kesat dengan rekaan sisi jenis rata yang memberikan cengkaman yang lebih baik semasa menggunakannya.

Seperti Galaxy Tab S9 Ultra, Galaxy Tab S9 FE+ ini turut menyokong penarafan IP68 yang mampu bertahan selama 30 minit pada kedalaman 1.5 meter. Lebih menarik, S-Pen juga turut mempunyai kemampuan yang sama dan boleh menulis ketika berada di dalam air. Selain itu, terdapat juga 2 pembesar suara dengan penjenamaan AKG bagi memberikan pengalaman audio yang berkualiti tinggi.

Rekaan yang digunakan pada Galaxy Tab S9 FE+ boleh dianggap agak baik. Namun, Samsung mungkin boleh membawakan sesuatu yang lebih baik dari segi rekaan pada generasi yang akan datang.

Skrin

Bukan skrin OLED, tidak seperti siri Galaxy Tab S9 yang menggunakan skrin OLED. Galaxy Tab S9 FE+ hanya menggunakan skrin jenis LCD sahaja. Namun begitu, skrin yang digunakan pada Galaxy Tab S9 FE+ ini masih mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang baik setanding skrin OLED. 

Keupayan skrin pada Galaxy Tab S9 FE+ sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan juga jelas dan sentuhan yang responsif. Selain itu, skrin ini turut menyokong paparan 90Hz, DCI-P3, kecerahan puncak pada 750 nits dan juga low light blue untuk penjagaan mata.

Rekaan bingkai skrin yang digunakan pada tablet ini boleh dikatakan agak tebal namun masih lagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Dengan bingkai yang agak tebal ia memudahkan tablet ini untuk dipegang ketika menggunakannya.

Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan kemampuan skrin yang ditawarkan pada Galaxy Tab S9 FE+ sesuai dengan penawarannya.

Prestasi

Galaxy Tab S9 FE+ dikuasakan dengan cip Exynos 1380. Cip ini menggunakan teknologi binaan 5nm dengan konfigurasi 8 teras iaitu 4x Cortex-A78 dengan kelajuan 2.4GHz dan 4x Cortex-A55 pada kelajuan 2.0GHz. Dipadankan dengan GPU Mali-G68.

Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan prestasi yang dihadapi. Apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Kebanyakkan permainan dan aplikasi dapat dijalankan dengan lancar dan permainan boleh dimainkan dengan tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.

Selain cip yang berkuasa, tablet ini turut menggunakan konfigurasi RAM sehingga 12GB yang memberikan pengalaman penggunaan yang lebih pantas sewaktu menukar aplikasi, pasang aplikasi, membuka aplikasi dan lain-lain. Apa yang boleh dirumuskan, prestasi pada Galaxy Tab S9 FE+ sememangnya sangat baik.

Sistem operasi

S

Galaxy Tab S9 FE+ menjalankan sistem operasi Samsung yang terkini iaitu One UI 5.1.1 yang berasaskan Android 13. Sistem operasi ini memfokuskan kepada penambahan fungsi baharu dan juga kemampuan yang lebih baik untuk produktivi.

Tampil dengan antaramuka yang ringkas dan mudah untuk digunakan. Hadir dengan peningkatan fungsi yang lebih baik seperti bar tugas yang kini memaparkan sehingga 4 aplikasi untuk memudahkan pengguna beralih ke aplikasi lain dengan pantas.

Selain itu, ia juga menyokong pelbagai fungsi lain seperti Multi-Active Window dan DeX Platform yang membolehkan pengguna menukar antara muka seperti PC yang dapat meningkatkan lagi produktiviti. Samsung turut membawakan pelbagai aplikasi kreatif dan produktif dari pihak ketiga yang membolehkan lebih banyak kerja boleh dilakukan secara On-The-Go.

Tidak hanya menawarkan sistem operasi yang lancar dan pantas. Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang berbanding pengeluar lain dengan 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan.

Kamera

Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 8MP f/2.0 lebar + 8MP f/2.2 ultra lebar. Manakala, swafoto hadir dengan kamera tunggal dengan rekaan jenis punch hole sensor 12MP f/2.2 lebar. Untuk rakaman, tablet ini menyokong rakaman sehingga 4K 30fps.

 Untuk gambar dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan agak baik dalam masa yang sama masih dapat mengekalkan tahap perincian imej tersebut.  Pada keadaan kurang cahaya, ia dilihat lebih cenderung untuk menghasilkan imej dengan dynamic range yang lebih tinggi namun perincian imej masih dapat dikekal dengan baik.

Secara keseluruhan, kemampuan kamera pada Galaxy Tab S9 FE+ boleh dikatakan agak baik untuk sebuah tablet.

Bateri 

Bateri 10,090mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 45W. Pada percubaan kami, masa yang diambil untuk mengecas tablet ini dari 0% hingga 100% mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit.

Jangka hayat bateri pada Galaxy Tab S9 FE+ boleh dikatakan sangat baik. Untuk kegunaan yang biasa dan pelbagai screen on time (SOT) yang diperolehi adalah sekitar 7 Jam 15 minit dan menurun kepada 5 jam 10 minit untuk penggunaan yang lebih berat.

Apa yang boleh dikatakan, jangka hayat bateri pada Galaxy Tab S9 FE+ adalah amat baik sesuai untuk digunakan seharian. Namun begitu, penggunaan yang berbeza akan memberikan hasil yang berbeza.

Kesimpulan

Galaxy Tab S9 FE+ boleh dikatakan sebagai tablet yang lengkap dan sesuai untuk kegunaan yang produktif. Sokongan S Pen dan papan kekunci menjadi tablet ini menarik untuk digunakan. Selain itu, spesifikasi dan fungsi yang ditawarkan berjaya menjadikan tablet ini lebih versatile.

Walaubagaimanapun, masih terdapat ruang yang boleh ditambahbaik oleh Samsung dalam usaha untuk menjadikan siri Galaxy Tab FE seterusnya lebih baik dan lebih menarik pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN