OPPO telahpun melancarkan tablet generasi baharu mereka iaitu OPPO Pad 2. Berbeza dengan penawaran sebelum ini, OPPO Pad 2 kini tampil dengan sejumlah spesifikasi yang lebih baik dan peningkatan yang lebih menarik.
Rekaan
Elegan, mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan rekaan yang digunakan pada OPPO Pad 2. Tampil dengan rekaan yang nipis dengan 6.54 mm dan ringan hanya 552 gram. Berbeza dengan kebanyakkan model yang menggunakan rekaan sisi jenis rata. Tablet ini menggunakan rekaan sisi jenis bulat menjadikan ia lebih selesa dan mudah untuk dipegang.
Kemasan panel belakang pada tablet ini juga menarik, menggunakan kemasan jenis kesat dan terdapat perincian “Star Trail” menjadikan ia lebih unik. Kemasan jenis kesat memberikan kelebihan cengakaman yang lebih baik dan kurang kesan cap jari. Gabungan rekaan sisi jenis bulat dan kemasan jenis kesat sememangnya terbaik dan menjadikan tablet ini mudah dan selesa untuk digunakan.
Kedudukan kamera belakang tablet ini terletak dibahagian tengah menjadikan ia sesuai untuk digunakan secara horizontal berbanding vertical. Namun, kedua-dua keadaan boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Terdapat tiga pin pada bahagian bawah yang merupakan penyambung magnetik kepada aksesori Smart Touchpad Keyboard.
Selain papan kekunci, tablet ini turut menyokong OPPO Pencil dengan kemampuan 2ms latency dan tahap kepekaan pada 4096 yang memberikan pengalaman menulis yang sebenar. Tidak ketinggalan, terdapat juga 4 pembesar suara Dolby Atmos yang disusun pada bahagian sisi kanan dan kiri.
Secara keseluruhan, rekaan yang dibawakan pada OPPO Pad 2 adalah sangat baik. Nipis dan ringan menjadikan tablet ini seronok untuk digunakan. Mungkin boleh dikatakan ia tablet paling menarik yang pernah kami guna setakat ini.
Skrin
Kebanyakkan tablet yang kami cuba menggunakan skrin AMOLED. Pada OPPO Pad 2 ia hadir dengan skrin LCD bersaiz 11-inci dengan resolusi 2.8K Ultra HD. OPPO menyatakan yang skrin tablet ini setanding dengan paparan profesional dan mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang baik.
Skrin tablet ini menggunakan ratio 7:5 “ReadFit screen” yang menjanjikan penglihatan yang lebih luas dan lebih baik. Turut menyokong paparan 144Hz, 1.07 billion color, Dolby Vision, kecerahan puncak 500 nits dan low light blue untuk penjagaan mata.
Rekaan bingkai skrin yang digunakan pada tablet ini boleh dikatakan agak tebal namun masih lagi menawarkan pengalaman penggunaan yang baik. Bingkai yang agak tebal menjadikan ia lebih mudah untuk dipegang.
Pengalaman skrin pada OPPO Pad 2 sememangnya mengagumkan dengan warna yang dihasilkan amat baik dan perincian kandungan yang dipersembahkan jelas dan terang.
Prestasi dan sistem operasi
OPPO Pad 2 dikuasakan dengan cip Dimensity 9000 yang menggunakan teknologi pemprosesan 4nm dengan seni bina Armv9. Cip ini dipadankan dengan GPU Mali-G710 MC10 yang menjanjikan prestasi grafik yang lebih baik. Dilengkapkan dengan konfigurasi 8GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1.
Prestasi yang ditawarkan pada OPPO Pad 2 adalah sangat baik. Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan prestasi dan tiada masalah kepanasan yang melampau. Semua aplikasi dan tugasan dapat dijalankan dengan lancar. Kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.
Tablet ini menjalankan sistem operasi ColorOS 13.1 berasaskan kepada Android 13. Sistem operasi ini tampil dengan antara muka yang ringkas dan menarik. Turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi baharu untuk produktiviti yang lebih baik.
Secara jujurnya, kami bukan peminat kepada ColorOS. Namun, pada OPPO Pad 2 ia memberikan tanggapan berbeza mengenainya. ColorOS 13.1 dilihat lebih mudah untuk digunakan dan difahami. Fungsi gesture yang ditawarkan juga sangat responsif dan efisien untuk digunakan.
Bateri
Tiada lagi kerisauan mengenai ketahanan bateri pada OPPO Pad 2. OPPO menyatakan yang tablet ini mampu bertahan sehingga 12.4 jam untuk video playback. Dimuatkan dengan bateri 9510mAh yang menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 67W yang hanya memerlukan 83 minit untuk satu isian penuh.
Untuk penggunaan yang biasa dan pelbagai screen on time (SOT) yang diperolehi adalah sekitar 7 Jam 5 minit dan menurun kepada 5 jam 10 minit untuk penggunaan yang lebih berat.
Apa yang boleh dikatakan, jangka hayat bateri pada OPPO Pad 2 adalah sangat baik sesuai untuk pengunaan harian. Namun begitu, ketahanan bateri mungkin berbeza dan bergantung kepada cara penggunaan.
Kamera
OPPO Pad 2 dilengkapi dengan kamera belakang tunggal dengan sensor sebesar 13MP yang menyokong rakaman sehingga 4K 30 fps. Manakala untuk swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 8MP.
Kemampuan kamera OPPO Pad 2 boleh dikatakan cukup baik untuk sebuah tablet. Pada keadaan cukup cahaya, imej yang dihasilkan baik dengan perincian dapat dikekalkan, terang dan vibrant.
Pada keadaan kurang cahaya, imej yang dihasilkan agak baik namun cenderung menghasilkan noise yang tinggi dan warna nampak pucat. Walaubagaimanapun, perincian imej masih dapat dikekalkan dalam banyak keadaan. Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan kemampuan kamera pada OPPO Pad 2.
Kesimpulan
OPPO Pad 2 sememangnya sebuah tablet yang lengkap dan mempunyai kemampuan setanding komputer peribadi. Perkara menarik mengenai tablet ini adalah nisbah skrin yang berbeza menjadikan ia seronok untuk digunakan sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.
Rekaan nipis dan ringan menjadikan tablet ini sangat sesuai digunakan untuk tujuan produktiviti atau sebagainya. Selain itu, tablet ini turut dimuatkan dengan pelbagai spesifikasi dan fungsi menarik yang dilihat setara dengan penawaran harganya.