Dua peranti baharu yang memfokuskan kepada permainan iaitu RedMagic 9 Pro dan 9 Pro+ telah diperkenalkan secara rasmi di China. Tampil dengan sejumlah peningkatan spesifikasi yang berkuasa dan paling menarik ia menggunakan rekaan jenis rata pada bahagian depan dan belakang.
Kedua-dua model tampil dengan spesifikasi yang hampir sama yang dibezakan dengan teknologi pengecasan dan kapasiti bateri. Hadir dengan skrin AMOLED BOE bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, RAM sehingga 24GB LPDRR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0.
Dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS Samsung GN5 + 50MP lebar + 2MP Makro. Manakala untuk swafoto, ia dilengkapi dengan sensor 16MP yang diletakkan di bawah skrin.
Untuk Red Magic 9 Pro, ia dimuatkan dengan bateri 6500mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W. Manakala untuk Red Magic 9 Pro+ ia dimuatkan dengan bateri 5500mAh bersama pengecasan pantas 165W.
Selain itu, peranti ini turut dimuatkan dengan sistem penyejukan ICE 13.0 baharu dengan kipas terbina yang mampu berpusing sehingga 22,000 RPM. Turut dimuatkan dengan cip khusus Red Core R2 Pro untuk memberikan pengalaman permainan pada tahap tertinggi.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti termasuklah bicu audio 3.5mm, NFC, pembesar suara jenis stereo , Wi-Fi 7, Bluetooth 5.3, IR Blaster dan menjalankan Red Magic OS 9.0 berasaskan Android 14.
Di China, Red Magic 9 Pro dijual pada harga bermula sekitar CNY4399 (RM2879). Manakala Red Magic 9 Pro+ pula dijual pada harga CNY5499 (RM3596). Ditawarkan dalam 3 pilihan warna iaitu Hitam, Putih dan Lutsinar.