HONOR dijangka akan membawakan kemampuan kamera yang lebih baik pada peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu siri HONOR Magic6. Berikutan itu, HONOR akan menggunakan kamera periskop dan kamera utama baharu yang menjanjikan pengalaman fotografi pada tahap tertinggi.
Menurut laproran terkini, siri HONOR Magic6 dilaporkan akan dilengkapi dengan kamera utama dari OmniVision OV50K yang dipadankan dengan kamera periskop dengan sensor sebesar 160MP . Kamera utama peranti ini akan menggunakan sensor bersaiz 1/1.3-inci iaitu saiz yang sama digunakan pada kamera utama Galaxy S23 Ultra.
OmniVision OV50K akan dilengkapi dengan teknologi LOFIC yang menjanjikan keupayaan pengimejan yang dipertingkatkan sekaligus mampu menghasilkan imej yang lebih terperinci dan berkualiti tinggi. Teknologi ini turut digunakan pada Xperia 1 V dan OnePlus Open.
Selain kemampuan kamera yang lebih baik, siri Magic6 dijangka akan turut menawarkan peningkatan spesifikasi yang lebih ketara menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik secara keseluruhan. Siri Magic6 telah disahkan akan hadir dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang disepadukan dengan kemampuan AI.