Biarpun Samsung belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai siri Galaxy S24. Namun, telah ada laporan yang mendedahkan maklumat mengenai peranti tersebut.

Terbaru, Spesifikasi dan rekaan S Pen yang akan digunakan pada Galaxy S24 Ultra telah tertiris. S Pen tersebut dikesan melalui pengiktirafan Federal Communications Commission (FCC) Amerika Syarikat sekaligus mendedahkan beberapa maklumat mengenainya

S Pen tersebut dikesan menggunakan kod model EJ-PS928 dan mempunyai rekaan yang sama seperti S Pen pada Galaxy 23 Ultra. Selain itu, ia menyokong sambungan melalui Bluetooth Low Energy (BLE) dengan julat frekuensi 2402 Mhz hingga 2480 MHz.
Masih terdapat butang kecil yang diletakkan pada bahagian sisi dan butang utama pada hujung pen. Walaupun menggunakan rekaan yang sama, S Pen untuk Galaxy S24 adalah lebih pendek iaitu 104.64 mm berbanding S Pen pada Galaxy S23 Ultra iaitu 105.08 mm.
Selain rekaan, pilihan warna S Pen yang akan digunakan turut didedahkan iaitu grey atau graphite. Namun begitu, terdapat kemungkinan akan ada lebih banyak pilihan warna yang akan ditawarkan yang sepadan dengan warna peranti.