OPPO secara rasmi telahpun melancarkan telefon lipat baharu untuk pasaran tempatan melalui model Find N3. Tidak seperti model sebelumnya, OPPO melalui Find N3 tampil dengan lebih banyak peningkatan dan pembaharuan seiring dengan perkembangan teknologi.
Rekaan

Perkara yang menarik pada Find N3 adalah rekaannya yang menawan dan minimalis. Untuk menjadikan telefon ini nampak menawan, OPPO telah menggunakan dua jenis kemasan yang iaitu vegan leather untuk Classic black dan frosted glass untuk Champagne gold. Secara peribadi, kami lebih menyukai kemasan jenis vegan leather yang tampak lebih menarik dan unik.

Telefon ini tampil dengan rekaan yang nipis iaitu hanya 5.88 mm dan ringan dengan 239 gram sahaja. Dengan rekaan yang nipis dan ringan ia berjaya memberikan keselesaan dan juga keyakinan untuk mengendalikan telefon ini dalam apa jua keadaan. Tidak ketinggalan, rekaan sisi jenis rata dengan kemasan jenis kesat turut membantu memberikan cengkaman yang lebih baik ketika dipegang.

Tidak hanya ringan dan nipis, Find N3 ini turut dimuatkan dengan teknologi engsel yang lebih baik dan lebih maju. Engsel baru ini dinamakan sebagai Flexion menggunakan bahan binaan berasaskan zirconium yang berjaya mengurangkan 15% komponen dalaman. Engsel baru ini juga adalah 5 kali lebih lasak dan lebih kuat. Ini kerana, ia menggunakan aircraft-grade steel yang dibangunkan sendiri oleh OPPO. Bercakap mengenai keselesaan ketika membuka dan menutup, Find N3 lebih firm dan lebih selesa berbanding telefon lipat yang pernah kami cuba sebelum ini.

Rekaan kamera belakang turut diberikan nafas baru dan lebih menonjol. Menggunakan rekaan yang dipanggil sebagai Cosmos ring menempatkan tetapan tri-kamera belakang dengan kerjasama Hasselblad. Rekaan kamera baru ini agak tebal namun ia membolehkan anda merehatkan jari anda ketika menggunakan telefon ini.
Skrin

Find N3 hadir dengan skrin dalam LTPO AMOLED bersaiz 7.82-inci 120Hz dan skrin luar LTPO AMOLED bersaiz 6.31-inci 120Hz dengan nisbah 20:9. Ia juga menyokong 1.07 billion color, touch sampling rate 240Hz dan kecerahan puncak 2800 nits.

Secara peribadi, kami lebih suka menggunakan skrin luar berbanding skrin dalam. Kami rasakan yang skrin luar telefon ini sangat berguna untuk melakukan pelbagai perkara tanpa perlu membukanya. Namun, sekiranya anda inginkan pengalaman skrin yang lebih baik dan lebih imersif kami sarankan anda untuk menggunakan skrin dalam. Walaubagaimanapun, penggunaan skrin adalah bergantung kepada keperluan dan juga keselesaan pengguna. Selain itu, kesan lipatan pada skrin juga hampir tiada sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.
Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan keupayaan skrin pada Find N3 sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan juga sentuhan yang responsif.
Prestasi dan sistem operasi

Untuk prestasi, Find N3 dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dibina dengan teknologi binaan 4nm. Cip ini menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 35%, peningkatan grafik sehingga 25% dan juga kecekapan penggunaan kuasa sehingga 45%. Keupayaan cip ini dipadankan dengan konfigurasi 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0.
Secara keseluruhan, prestasi bukan masalah utama pada Find N3. Semua aplikasi, tugasan atau permainan dapat dijalankan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah. Tiada isu masalah panas yang melampau ditemui sepanjang penggunaan kami.

Bercakap mengenai sistem operasi, OPPO Find N3 menjalankan sistem operasi ColorOS 13.2 yang berasaskan Android 13. Sistem operasi ini tampil dengan beberapa penambahbaikan dan juga fungsi baharu yang memanfaatkan keupayaan telefon lipat. Antara fungsi menarik yang dimuatkan adalah seperti Global taskbar yang membolehkan aplikasi dan files diakses dengan lebih pantas dan mudah melalui App library dan Recents files.

Untuk memberikan pengalaman multi tugas yang lebih baik dan efisien, Find N3 turut hadir dengan fungsi Boundless view yang membolehkan pengguna menjalankan tiga aplikasi secara serentak sekaligus dapat meningkatkan lagi produktiviti pengguna. Terdapat juga beberapa special features yang dimuatkan seperti smart sidebar, kid space dan quick return.
Selain sistem operasi yang menarik dan efisien, OPPO turut menjanjikan kemas kini yang lebih lama iaitu 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan.
Bateri

Find N3 dimuatkan dengan bateri sebesar 4800mAh yang mampu bertahan seharian untuk penggunaan yang biasa. Turut menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 67W yang mampu mengecas 50% hanya dalam 23 minit sahaja. Manakala untuk isian penuh, ia hanya mengambil masa sekitar 44 minit sahaja.

Secara purata screen on time (SOT) yang kami perolehi adalah sekitar 5 jam dan ke atas untuk penggunaan yang ringan. Untuk penggunaan yang lebih berat ia menurun kepada 4 jam dan ke bawah. Ketahanan bateri yang ditawarkan pada Find N3 ini boleh dikatakan agak baik dan mampu bertahan untuk penggunaan seharian.
Kamera

Dari segi fotografi, Find N3 dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48MP + 48MP ultra lebar + 64MP telefoto. Keupayaan kamera ini turut dijana dengan kerjasama dari Hasselblad. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 20MP untuk skrin utama dan 32MP untuk skrin kedua.

Secara keseluruhan, kemampuan kamera Find N3 boleh dikatakan amat baik. Imej yang dihasilkan mempunyai perincian yang baik dan dynamic range yang dihasilkan juga konsisten. Selain itu, shadows dan highlight yang dihasilkan pada setiap imej juga seimbang.

Untuk kamera ultra lebar, ia menawarkan kemampuan yang sama seperti kamera utama dengan color shifting tidak begitu ketara. Namun, untuk keadaan kurang cahaya ia cenderung untuk menghasilkan imej dengan noise yang agak tinggi.
Manakala untuk telefoto, ia menyokong sehingga 120x zum digital. Secara peribadi, kami lebih cenderung untuk menggunakan 3x atau 6x zum kerana mampu memberikan hasil imej yang baik, tajam dan perincian dapat dikekalkan. Dari segi rakaman, Find N3 menyokong rakaman sehingga 4K 60fps.
Kesimpulan

Kesimpulannya, Find N3 boleh dianggap sebagai telefon lipat paling menarik dan paling lengkap yang ada di pasaran ketika ini. Gabungan spesifikasi, teknologi dan kamera yang dibawakan pada Find N3 sememangnya menjanjikan sesuatu yang berbeza dari apa yang ditawarkan di pasaran ketika ini.
Selain itu, OPPO juga dilihat berjaya mengubah landskap penawaran telefon lipat pada ketika ini melalui Find N3. Dengan kejayaan ini, kita mungkin akan melihat lebih banyak penawaran yang lebih menarik akan dibawakan oleh OPPO pada Find N4.