Kerajaan Malaysia akan mula melaksanakan cukai jualan sebanyak 10% terhadap barang-barang bernilai rendah (LVG) pada 1 Januari 2024.
Cukai jualan LVG ini hanya akan dikenakan kepada barangan import yang dijual pada harga RM500 dan ke bawah, dibeli secara dalam talian dan dihantar dari luar negara kepada pelanggan di Malaysia.
Perlaksanaan cukai LVG ini adalah untuk meningkatkan lagi daya saing produk tempatan. Selain itu, cukai ini tidak akan memberi kesan kepada produk dalam negara yang dibeli secara dalam talian.
Sebagai contoh, sekiranya anda membeli barang dari luar negara dengan harga RM450 dan terdapat caj penghantaran sebanyak RM10 anda hanya perlu membayar RM460. Namun selepas 1 Januari 2024, senario tersebut berbeza yang mana anda perlu membayar RM450 + RM45 (10% cukai jualan) + RM10 caj penghantaran menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM505.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perlaksanaan cukai LVG, anda boleh layari laman rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).