WhatsApp ketika sedang membawakan pelbagai fungsi menarik dalam usaha untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik pada aplikasi mereka. Terbaru, WhatsApp status akan boleh dikongsi secara terus ke Instagram tidak lama lagi.
Fungsi tersebut telah dikesan melalui WhatsApp beta untuk Android dengan nombor binaan 2.23.26.17. Melalui tangkap layar yang dikongsi, terdapat pilihan untuk berkongsi WhatsApp status secara terus melalui ke Instagram.
Pilihan tersebut dilihat akan lebih memudahkan pengguna untuk membuat perkongsian status secara serentak tanpa perlu menukar aplikasi. Selain itu, fungsi ini juga membolehkan potensi capaian sosial dapat dibuat dengan lebih besar. Fungsi ini juga dilihat sebagai pelengkap kepada perkongsian status terus ke Facebook yang telah tersedia ketika ini.
Fungsi ini turut memberikan pengguna pilihan untuk menetapkan perkongsian status secara automatik atau sebaliknya. Namun begitu, fungsi ini masih lagi dalam fasa pembangunan dan dijangka akan tersedia kepada semua pengguna tidak lama lagi.