Siri ASUS ROG Phone 8 secara rasmi telah diperkenalkan, tampil dengan pelbagai peningkatan seperti spesifikasi, kemampuan kamera yang lebih baik dan menyokong penarafan IP68. Hadir dengan tiga pilihan varian iaitu ROG Phone 8, ROG Phone 8 Pro dan ROG Phone 8 Pro Edition.
Siri ROG Phone 8 hadir dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan iaitu dengan 8.9mm dan berat hanya 225g. Menggunakan skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.78-inci yang turut menyokong paparan 165Hz dan kecerahan puncak 2500 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan RAM LPDRR5X sehingga 24GB dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0.
Untuk fotografi, ia menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP Sony IMX890 +13MP ultra lebar + 32MP telefoto. Manakala swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 32MP. Menarik pada kali ini, ASUS membawakan kamera telefoto pada siri ROG Phone 8 buat pertama kali.
Dimuatkan dengan bateri 5500mAh yang menyokong pengecasan berwayar HyperCharge 65W dan tanpa wayar. Siri ROG Phone 8 turut menyokong penarafan IP68 dan AeroActive Cooler X kini 29% lebih kecil.
Selain itu, siri ROG Phone 8 turut menyokong kecerdasan buatan iaitu AI Grabber yang boleh digunakan untuk mengimbas dan menyalin teks dalam permainan. Melengkapkan peranti ini adalah paparan kedua iaitu AniMe Vision yang tersedia hanya untuk varian Pro manakala untuk ROG Phone 8 hanya dillengkapi dengan Aura RGB Lightning.
ASUS Malaysia telah mengesahkan yang siri ASUS ROG Phone 8 akan turut diperkenalkan di Malaysia pada 30 Januari ini dengan harga jualan dan ketersediaan masih lagi belum didedahkan.