Close

HONOR perkenalkan Magic V2 RSR – Telefon lipat ‘special edition’ dengan sentuhan Porsche Design

HONOR mengemas kini penawaran telefon lipat mereka dengan memperkenalkan Magic V2 RSR edisi istimewa yang dihasilkan dengan kerjasama Porsche Design. Rekaan telefon lipat edisi istimewa ini diinspirasi daripada Porsche 911.

HONOR Magic V2 RSR hadir dengan skrin utama 7.92-inci OLED LTPO dan skrin kedua bersaiz 6.43-inci OLED LTPO. Kedua-dua skrin ini menyokong paparan adaptif 120Hz dan mempunyai ketahanan skrin yang lebih baik berbanding model biasa. Peranti ini juga adalah telefon lipat pertama yang menyokong stylus pada kedua-dua skrin.

Dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB. Dimuatkan dengan bateri 5000mAh bersama pengecasan pantas 66W.

Terdapat beberapa perubahan dari segi rekaan untuk Magic V2 RSR seperti panel belakang menggunakan bahan binaan dari carbon fibre dan kamera belakang direka semula yang diinspirasikan dari model Porsche 911.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 50MP ultra lebar + 20MP OIS telefoto. Keupayaan kamera ini menyokong sistem zum digital sehingga 40x. Manakala, untuk swafoto ia hadir dengan sensor 16MP yang dimuatkan pada skrin utama dan skrin kedua.

Di China, HONOR Magic V2 RSR dijual pada harga sekitar CNY15,999 (RM10,458). Tidak dapat dipastikan adakah edisi istimewa ini akan turut dilancarkan untuk pasaran global atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN