Close

iPad Air, iPad Pro dan MacBook Air baru mungkin diperkenalkan pada Mac ini

Menurut laporan, Apple dijangka akan memperkenalkan tiga produk baru iaitu iPad Air, iPad Pro dan MacBook Air pada sekitar Mac atau April ini. Ketiga-tiga produk ini dijangka akan membawakan peningkatan spesifikasi yang lebih baik namun kekal dengan rekaan yang sama.

Untuk iPad Air, ia dijangka hadir dalam dua pilihan skrin iaitu 10.9-inci dan 12.9-inci. Tampil dengan rekaan kamera belakang yang berbeza dan dijana dengan cip Apple M2. Selain itu, ia akan menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3.

Manakala untuk iPad Pro, ia dijangka akan menjadi iPad Pro pertama menggunakan skrin OLED dan hadir dengan dua pilihan skrin 11-inci dan 13-inci. Skrin baru ini akan menawarkan puncak kecerahan yang lebih baik, nisbah kontras yang lebih tinggi dan penggunaan kuasa yang lebih rendah berbanding model semasa yang menggunakan skrin LCD.

iPad Pro baru ini dijangka akan dijana dengan cip Apple M3 yang menjanjikan prestasi yang lebih baik dan akan menyokong pengecasan tanpa wayar MagSafe dan papan kekunci Magic Keyboard baru.

Akhir sekali, Apple akan turut memperkenalkan MacBook Air yang akan dikuasakan dengan cip Apple M3. Berbeza dengan sebelum ini, Apple berkemungkinan akan memperkenalkan dua model secara serentak iaitu 13-inci dan 15-inci.

MacBook Air baru ini dijangka akan menawarkan peningkatan prestasi grafik yang lebih baik melalui cip Apple M3 dan menyokong rangkaian Wi-Fi 6E.

Buat masa ini, Apple belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai acara pelancaran peranti ini. Kami jangkakan akan lebih banyak maklumat yang akan dikongsi dari masa ke semasa. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN