Ini bukan pertama kali kotak jualan rasmi peranti Google tertiris sebelum pelancarannya. Kali ini, giliran kotak jualan Pixel 8a pula didedahkan.
Perkongsian kotak jualan tersebut telah memberikan gambaran penuh mengenai peranti sama seperti yang dilaporkan sebelum ini. Pada bahagian hadapan kotak jualan tersebut, memperlihatkan rekaan Pixel 8a dari bahagian belakang hadir dengan tetapan dwi-kamera belakang bersama flash LED. Turut dapat dilihat butang kuasa dan butang suara yang diletakkan pada bahagian sisi kanan peranti.
Terdapat juga maklumat mengenai kod model untuk Pixel 8a iaitu G6GPR dan label mengenai kotak jualan. Jika menurut maklumat sebelum ini, Pixel 8a akan dikuasakan dengan cip Tensor G3, 8GB RAM dan skrin bersaiz 6.1-inci.
Selain itu, tidak dapat dipastikan adakah Pixel 8a akan turut menyokong kemas kini sehingga 7 tahun seperti Pixel 8 dan Pixel 8 Pro atau sebaliknya. Google Pixel 8a dijangka akan diperkenalkan pada acara Google I/O yang akan berlangsung pada Mei 2024.