Pengguna lain nampaknya perlu menunggu lebih lama sebelum fungsi Circle to Search tiba kepada peranti mereka. Fungsi tersebut dikatakan hanya tersedia kepada peranti lain selepas Oktober 2024.
Menurut laporan, fungsi Circle to Search buat masa ini hanya tersedia secara eksklusif untuk dua pengeluar sahaja iaitu Samsung melalui siri Galaxy S24 dan Google melalui siri Pixel 8. Pengeluar lain perlu menunggu lebih lama sebelum menerima fungsi tersebut. Namun begitu, buat masa ini tiada sebarang pembangunan yang dilakukan bagi fungsi ini untuk pengeluar lain.
Circle to Search membolehkan pengguna melakukan carian berdasarkan dari apa yang terpapar pada skrin tanpa perlu bertukar aplikasi. Fungsi ini lebih mudah berbanding sebelum ini, yang memerlukan tangkap layar dibuat terlebih dahulu sebelum melakukan carian.
Ini bukan kali pertama Samsung dan Google mempunyai hak eksklusif bagi sistem perisian. Sebelum ini, Wear OS 4 turut tersedia secara eksklusif untuk kedua-dua pengeluar.