Sebelum ini, kami ada melaporkan yang Google Pixel Fold 2 akan diperkenalkan pada Oktober 2024. Terbaru, terdapat laporan yang mendedahkan rekaan peranti tersebut.
Imej yang didakwa sebagai Pixel Fold 2 dilihat tampil dengan beberapa perubahan. Perubahan paling ketara adalah pada bahagian rekaan kamera tidak lagi menggunakan rekaan candy bar sebaliknya menggunakan rekaan bonggol kamera yang sama seperti kebanyakkan peranti. Rekaan kamera candy bar mula digunakan oleh Google pada siri Pixel 6.
Selain rekaan kamera, Pixel Fold 2 turut dilihat akan hadir dengan skrin luar yang lebih panjang dengan bingkai yang lebih nipis. Rekaan skrin luar Pixel Fold 2 ini dijangka akan menawarkan pengalaman dan sokongan aplikasi yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Sebelum ini, terdapat laporan lain menyatakan Pixel Fold 2 tidak akan dijana dengan cip Tensor G3 sebaliknya akan menggunakan cip Tensor G4 iaitu cip sama yang akan digunakan pada siri Pixel 9.
Pixel Fold 2 dijangka akan dilengkapi dengan konfigurasi RAM yang lebih besar iaitu 16GB. Merupakan konfigurasi RAM paling besar yang pernah digunakan oleh Google pada peranti mereka. Walaubagaimanapun, laporan ini masih lagi terawal untuk diperkatakan memandang acara pelancaran peranti ini masih lagi panjang.