Siri OPPO Reno11 telahpun ditawarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Hadir dalam dua pilihan varian iaitu Reno11 5G dan Reno11 Pro 5G. Kedua-dua model tampil dengan pelbagai peningkatan namun dibezakan dengan beberapa perubahan spesifikasi.
Rekaan
Dari segi rekaan, Reno11 5G membawakan rekaan yang menarik dari model sebelumnya. Tampil dengan dua pilihan warna iaitu Wave Green dan Rock Grey. Kedua-dua pilihan warna ini menggunakan kemasan yang berbeza. Untuk Wave Green, ia nampak yang lebih menonjol dengan panel belakang jenis berkilat. Manakala Rock Grey pula, dilihat lebih kemas dengan panel belakang jenis kesat. Secara peribadi, Wave Green adalah warna yang lebih menarik berbanding Rock Grey. Namun, ia bergantung kepada anda kerana cantik adalah subjektif.
Reno11 5G menggunakan rekaan kamera yang agak tebal dengan rekaan seperti pil yang memuatkan tiga sensor kamera belakang dengan lampu LED. Rekaan kamera ini sangat minimal menjadikan panel belakang nampak lebih kemas. Lebih menarik, panel belakang peranti ini tidak mudah meninggalkan kesan cap jari.
Reno11 5G tampil dengan rekaan yang nipis dan ringan dengan berat hanya 182gram dan tebal 8.04mm. Untuk menjadikan peranti ini nampak mewah, OPPO menggunakan rekaan jenis melengkung pada skrin hadapan dan panel belakang. Rekaan ini, telah menjadikan peranti ini terasa nipis dan selesa bila dipegang. Namun, peranti ini terasa sedikit licin apabila digunakan tanpa kerangka pelindung. Secara peribadi, kami bukanlah penggemar kepada peranti dengan skrin melengkung.
Secara keseluruhan, rekaan dan kemasan yang digunakan pada peranti ini sememangnya berbeza dan berada kelasnya yang tersendiri. Nipis, ringan dan pilihan warna yang menarik menjadikan ia lebih menonjol.
Skrin
Untuk skrin, tidak dapat dinafikan yang skrin Reno11 5G tampil dengan teknologi skrin yang terkini dan cantik. Menyokong pelbagai fungsi menarik seperti paparan 120Hz, 10.7 billion color, HDR10+ dan dilindungi dengan kaca dari Dragontrail.
Reno11 5G menggunakan rekaan skrin melengkung menjadikan peranti ini nampak premium dalam masa yang sama menjanjikan pengalaman pengguna yang baik. Selain itu, ia turut hadir dengan rekaan bezel yang nipis dan simetri sekaligus menawarkan pengalaman skrin yang lebih baik. Biarpun skrin melengkung dilihat lebih premium namun ia tidak begitu ergonomik berbanding skrin rata.
Secara keseluruhan, skrin peranti ini menawarkan warna yang baik dan juga terang sekaligus menjanjikan pengalaman menonton yang baik untuk kandungan seperti Netflix dan YouTube. Penggunaan di bawah matahari juga cukup baik dengan tulisan dan perincian masih dapat dilihat.
Prestasi
Reno11 5G dijana dengan cip Dimensity 7050 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Sepanjang percubaan kami, cip ini berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan cemerlang. Tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika digunakan, penukaran aplikasi sangat lancar biarpun menjalankan lebih dari lima atau lapan aplikasi dibelakang.
Selain itu, kebanyakkan permainan boleh dimainkan dengan lancar dan boleh dimainkan pada tetapan tinggi. Tidak ketinggalan, Reno11 5G turut menyokong touch sampling rate sehingga 240Hz sekaligus memberikan pengalaman permainan yang lebih baik dan lancar.
Prestasi bukan masalah pada peranti ini, kemampuan spesifikasi pada peranti ini boleh dikatakan melebihi dari apa yang diperlukan untuk penggunaan biasa, apatah lagi jika digunakan untuk menjalankan tugas yang lebih berat. Jadi, boleh dirumuskan yang peranti ini sememangnya sesuai digunakan untuk pelbagai tugasan.
Bateri
Selain prestasi yang berkuasa, peranti ini turut mempunyai keupayaan bateri yang mengagumkan. Dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang dipadankan dengan pengecasan pantas SuperVOOC 67W yang mampu mengecas dari 0% ke 100% dalam masa 47 minit sahaja. OPPO turut mendakwa yang bateri ini mampu bertahan sehingga 4 tahun penggunaan.
Sepanjang percubaan kami, keupayaan bateri yang ditawarkan pada Reno11 5G adalah sangat mencukupi untuk penggunaan seharian. Menawarkan kemampuan screen on time (SOT) secara purata 5 jam dan ke atas dengan penggunaan sekitar 10 hingga ke 12 jam. Namun, harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai corak penggunaan berbeza yang akan memberikan hasil yang berbeza.
Secara keseluruhan, keupayaan bateri Reno11 5G sememangnya boleh dipuji. Kapasiti bateri yang besar dan pengecasan yang pantas membolehkan anda menggunakan peranti tanpa perlu risau mengenai bateri dan sangat sesuai untuk penggunaan seharian.
Kamera
Untuk fotografi, Reno11 5G menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 32MP telefoto + 8MP ultra lebar. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 32MP.
Secara keseluruhan keupayaan kamera pada Reno11 5G ini adalah baik. Untuk gambar dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan baik dengan warna dan perincian dapat dikekalkan. Pada keadaan kurang cahaya pula, imej yang dihasilkan boleh dikatakan baik dengan perincian imej yang dihasilkan konsisten pada pelbagai keadaan.
Untuk kamera telefoto, kami sarankan anda untuk menggunakan 2x atau 5x zum kerana hasil imej yang diberikan lebih baik dengan warna dan perincian dapat dikekalkan dengan konsisten. Kemampuan potret juga boleh dikatakan baik dengan setiap imej yang dihasilkan mempunyai perincian dan potongan bokeh yang kemas.
Selain itu, keupayaan swafoto peranti ini boleh dikatakan agak baik. Imej yang dihasilkan terang dan jelas namun warna yang dihasilkan tidak konsisten pada beberapa keadaan. Walaubagaimanapun, kemampuan kamera peranti ini wajar dipuji kerana mampu memberikan hasil yang baik dalam semua situasi.
Kesimpulan
Apa yang boleh disimpulkan mengenai Reno11 5G adalah ia merupakan peranti yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Penawaran yang dibawakan oleh OPPO pada peranti ini cukup menarik yang merangkumi pelbagai aspek seperti rekaan, binaan, prestasi, bateri dan semestinya kemampuan kamera. Sekiranya anda mencari sebuah peranti yang lengkap dan berbaloi, Reno11 5G mungkin pilihan terbaik.