Close

HONOR Magic V2 RSR Porsche Design turut tiba untuk pasaran global – Harga jualan mencapai RM14,000

Pada acara pelancaran Magic6 Pro, HONOR turut memperkenalkan telefon lipat edisi terhad mereka iaitu Magic V2 RSR yang dihasilkan dengan kerjasama Porsche Design. Seperti namanya, peranti ini tampil dengan beberapa perubahan menarik untuk menjadikan ia lebih mewah dan lebih istimewa.

Rekaan Magic V2 RSR diinspirasikan daripada kereta Porsche 911 dan menggunakan bahan binaan yang berbeza dari model biasa. Panel belakang peranti ini menggunakan binaan carbon fibre dan skrin hadapan dilindungi dengan NanoCrystal Shield. Selain itu, ia ditawarkan dalam pilihan storan 1TB, antara muka khas Porsche Design dan stylus pen tersedia dalam kotak jualan.

Untuk spesifikasi, Magic V2 RSR hadir dengan skrin utama 7.92-inci OLED LTPO dan skrin kedua bersaiz 6.43-inci OLED LTPO. Kedua-dua skrin ini menyokong paparan adaptif 120Hz. Dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB. Dimuatkan dengan bateri 5000mAh bersama pengecasan pantas 66W.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 50MP ultra lebar + 20MP OIS telefoto. Keupayaan kamera ini menyokong sistem zum digital sehingga 40x. Manakala, untuk swafoto ia hadir dengan sensor 16MP yang dimuatkan pada skrin utama dan skrin kedua.

Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti pengimbas cap jari pada butang kuasa, Infrared, NFC, Bluetooth 5.3, pembesar suara jenis stereo dan menjalankan MagicOS 7.2 berasaskan Android 13. Untuk harga jualan, Magic V2 RSR dijula pada harga sekitar €2699 (RM13,949).

ARTIKEL BERKAITAN