Pada acara MWC 2024, Samsung secara rasmi telahpun memperlihatkan peranti boleh-pakai baru mereka iaitu Galaxy Ring. Malangnya, pada acara tersebut Samsung tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai spesifikasi yang digunakan pada peranti tersebut.
Menurut laporan, Galaxy Ring dijangka menawarkan ketahanan bateri yang baik iaitu sekitar 5 hingga 9 hari penggunaan. Namun begitu, ketahanan bateri mungkin berbeza berikutan peranti ini akan ditawarkan dengan saiz yang berbeza iaitu 5 hingga 13. Saiz yang lebih besar akan mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar dan sebaliknya.
Peranti ini dijangka akan dimuatkan dengan pelbagai sensor yang mampu memberikan bacaan kadar denyutan, pernafasan, ECG, pemantauan tidur dan pemantauan tekanan darah. Selain itu, ia akan turut hadir dengan fungsi Vitality Score yang mengumpul data fizikal dan mental untuk memantau produktiviti pengguna. Penjejakan kesihatan dan fungsi tersebut boleh diakses melalui Samsung Health.
Samsung buat masa ini belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran peranti ini. Beberapa maklumat menyatakan ia mungkin akan dilancarkan pada separuh kedua 2024.