Close

OPPO Watch X kini rasmi di Malaysia dengan harga RM1399

OPPO Malaysia secara rasmi memperkenalkan jam tangan pintar baru untuk pasaran tempatan melalui model OPPO Watch X. Tampil dengan spesifikasi menarik, ketahanan bateri yang lebih panjang dan menjalankan dwi-sistem operasi.

OPPO Watch X hadir dengan rekaan bulat dan menggunakan binaan dari Stainless Steel yang lebih tahan dari aluminium. Menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.43-inci dengan kecerahan puncak 1000 nits. Berbeza dengan jam tangan pintar lain, OPPO Watch X menggunakan ‘Dual Engine Architecture’. Yang mana ia membolehkan peranti ini menggunakan dua cip dan dua sistem operasi yang berbeza. Untuk cip Snapdragon W5 Gen 1 ia menjalankan WearOS sementara cip BES2700 menjalankan sistem operasi RTOS.

Sistem operasi WearOS digunakan untuk tugasan utama dan sokongan aplikasi manakala RTOS pula digunakan untuk tugasan yang lebih ringan ketika dalam mod tidak digunakan. Dengan menggunakan Dual Engine Architecture ia memberikan ketahanan bateri yang lebih baik dan lebih panjang.

Melengkapkan peranti ini, ia hadir dengan 2GB RAM dan 32GB storan dalaman. Bateri 500mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan VOOC 7.5W. OnePlus mendakwa yang peranti ini mampu bertahan sehingga 100 jam dalam mod pintar dan 48 jam untuk penggunaan yang lebih berat.

Turut menyokong pelbagai fungsi kesihatan lain seperti pemantauan tidur, pemantauan kadar degupan jantung, pemantauan tekanan, pemantauan pernafasan dan tahap oksigen. Selain itu, ia turut menyokong pelbagai aktiviti sukan dan senaman seperti Tenis dan Badminton.

Di Malaysia, OPPO Watch X dijual pada harga RM1399. Ditawarkan dalam 2 pilihan iaitu Platinium black dan Mars brown. Bagi yang berminat, peranti ini telah dibuka untuk pra-tempahan bermula hari ini sehingga 22 April. Setiap pra-tempahan akan menerima rebat RM100 dan layak membeli tali jam pada harga RM1.

ARTIKEL BERKAITAN