Meizu membuat kemunculan semula di Malaysia apabila menjadualkan acara pelancaran untuk Meizu 21 pada 5 Mac ini. Meizu merupakan pengeluar telefon pintar dari China dan pernah menawarkan beberapa peranti untuk pasaran tempatan.
Meizu 21 telahpun dilancarkan lebih awal di China. Dilengkapi dengan skrin AMOLED FHD+ bersaiz 6.55-inci. Turut menyokong paparan 120Hz, HDR10+ dan kecerahan puncak 1800 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan RAM sehingga 12GB LPDRR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.
Dari segi fotografi, ia hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP OIS Samsung ISOCELL HP3 + 13MP ultra lebar + 5MP potret. Untuk swafoto ia hadir dengan sensor sebesar 32MP. Bateri 4800mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 80W. Perkara menarik mengenai Meizu 21 adalah terdapat lampu LED RGB yang diletakkan pada kamera belakang yang menyokong pelbagai fungsi seperti pemberitahuan notifikasi.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan spesifikasi yang sama akan ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya. Selain itu, harga jualan peranti ini masih lagi menjadi rahsia. Di China, Meizu 21 dijual pada harga bermula sekitar CNY 3399 (RM2233).