Seperti yang kita tahu, Apple ketika ini sedang membangunkan iPhone SE generasi seterusnya iaitu iPhone SE 4. Peranti ini berkemungkinan akan diperkenalkan pada tahun hadapan iaitu 2025.
Terbaru, rekaan CAD yang didakwa sebagai iPhone SE 4 telah tertiris. Melalui rekaan tersebut, mendedahkan beberapa maklumat mengenainya. iPhone SE 4 dilihat tampil menggunakan rangka seperti iPhone 14 atau iPhone 13. Namun begitu, ia kekal menggunakan kamera belakang tunggal seperti model sebelumnya.
Selain itu, iPhone SE 4 dijangka akan dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.1-inci dengan skrin jenis bertakuk. Bermaksud, iPhone SE 4 akan menjadi iPhone SE pertama menggunakan Face ID bagi menggantikan Touch ID yang digunakan pada model sebelumnya.
Lebih menarik, iPhone SE 4 berkemungkinan akan menggunakan pengecasan jenis USB-C seperti mana yang digunakan pada siri iPhone 15. Tiada butang tambahan seperti Action button atau Capture button akan dimuatkan pada peranti mampu milik dari Apple ini.