Nothing secara rasmi memperkenalkan peranti mampu milik pertama mereka iaitu Phone (2a). Tampil dengan rekaan yang berbeza dengan spesifikasi yang menarik.
Phone (2a) hadir dengan rekaan yang berbeza dari model sebelumnya. Namun begitu, ia masih mengekalkan rekaan ikonik Nothing iaitu panel lut sinar dan lampu LED Glyph. Dilengkapi dengan skrin Flexible AMOLED bersaiz 6.7-inci yang menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak 1300 nits.
Dikuasakan dengan cip Dimensity 7200 Pro yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Nothing menyatakan yang Phone (2a) adalah 13% lebih berkuasa dan 16% lebih efisien berbanding Phone (1). Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP ultra lebar dan swafoto 32MP. Keupayaan kamera ini dijana dengan TrueLens Engine untuk pengalaman fotografi yang lebih baik.
Dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W yang mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 20 minit sahaja. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan adalah seperti pengimbas cap jari bawah skrin, NFC, pembesar suara jenis stereo, penarafan IP54 dan menjalankan Nothing OS 2.5 berasaskan Android 14.
Di Malaysia, Phone (2a) dijual pada harga bermula RM1699 untuk 12GB + 256GB. Ditawarkan dalam 2 pilihan warna iaitu Milk dan Black. Bagi yang berminat, peranti ini boleh didapatkan bermula esok (6 Mac) melalui The 100 Drops yang akan berlangsung pada 11 pagi di Crossover, Bandar Sunway.
The 100 Drops adalah acara jualan khas, tersedia dalam 100 unit sahaja dan didatangkan dengan pelbagai hadiah eksklusif. Antara hadiah eksklusif yang akan diterima oleh 100 pembeli terawal adalah seperti casing dengan cetakan grafik Kuala Lumpur, CMF Watch Pro, tali jam Crossover, beg kertas Nothing dan lain-lain.