Close

Siri vivo X Fold3 mungkin tiba pada penghujung Mac ini

vivo mungkin akan memperkenalkan telefon lipat mereka sebulan lebih awal dari kebiasaan selepas terdapat laporan mendedahkan peranti tersebut akan tiba pada sekitar penghujung Mac ini. Sebelum ini, vivo X Fold2 diperkenalkan pada 20 April 2023.

Menurut laporan, vivo akan memperkenalkan dua model telefon lipat baru iaitu X Fold3 dan X Fold3 Pro dan berkemungkinan akan dilancarkan pada 26, 27 atau 28 Mac ini. Kedua-dua model akan tampil dengan beberapa spesifikasi dan teknologi yang berbeza.

X Fold3 dikatakan akan dijual pada harga yang lebih kompetitif dan akan dikuasakan dengan cip yang lama iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Manakala, X Fold3 Pro akan dijual pada harga lebih mahal serta tampil dengan pelbagai teknologi yang lebih baik. Selain itu, X Fold3 Pro akan menjadi telefon lipat pertama yang akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3.

Untuk fotografi, X Fold3 dijangka akan dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP ultra lebar + 50MP telefoto. X Fold3 Pro akan turut menggunakan tetapan tri-kamera belakang namun dengan sensor yang lebih besar iaitu 50MP utama + 50MP ultra lebar + 64MP periskop.

Walaubagaimanapun, maklumat mengenai laporan masih tidak dapat dipastikan. Namun begitu, ia sedikit sebanyak memberikan gambaran awal mengenai telefon lipat vivo yang seterusnya.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN