Close

4 peranti menarik yang diumumkan di MWC 2024

Acara Mobile World Congress (MWC) 2024 telahpun melabuhkan tirainya pada 29 Februari lalu. Buat yang tidak mengetahui, MWC adalah acara teknologi yang paling popular dan berpengaruh di dunia. Pada acara ini, pelbagai teknologi baharu dan peranti konsep akan diperlihatkan oleh pengeluar. Jadi, ini adalah 4 peranti menarik yang diumumkan di MWC 2024.

Samsung Galaxy Ring

Pada acara MWC 2024, Samsung telah memperlihatkan peranti pintar boleh-pakai baru mereka yang dikenali sebagai Galaxy Ring. Seperti namanya, peranti boleh-pakai ini menggunakan rekaan seperti cincin namun dimuatkan dengan pelbagai sensor untuk pemantauan kesihatan.

Samsung menyatakan yang Galaxy Ring akan dilengkapi dengan fungsi kesihatan termaju sekaligus akan mengubah landskap kesihatan pada masa akan datang. Galaxy Ring dikatakan mampu memberikan bacaan kadar denyutan, pernafasan, ECG, pemantauan tidur dan pemantauan tekanan darah. Penjejakan kesihatan dan fungsi tersebut boleh diakses melalui Samsung Health.

Galaxy Ring dijangka menawarkan ketahanan bateri yang baik iaitu sekitar 5 hingga 9 hari penggunaan. Namun begitu, ketahanan bateri mungkin berbeza berikutan peranti ini akan ditawarkan dengan saiz yang berbeza iaitu 5 hingga 13. Saiz yang lebih besar akan mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar dan sebaliknya. Peranti ini dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini.

Motorola Adaptive Display Concept

Motorola sememangnya pengeluar yang sering tampil dengan peranti konsep yang menarik. Jika sebelum ini ada Motorola Rollable Phone, kini Motorola tampil dengan peranti konsep Motorola Adaptive Display.

Motorola Adaptive Display bukan sebuah telefon lipat biasa sebaliknya ia adalah telefon lipat dengan skrin boleh lentur. Dengan keupayaan tersebut ia boleh dipasang pada pergelangan tangan dalam keadaan melengkung sekaligus berubah menjadi seperti sebuah jam pintar. Selain boleh dipasang pada pergelangan tangan, peranti ini turut boleh dibentuk dalam pelbagai posisi. Sistem operasi yang digunakan juga cukup pintar yang boleh berubah mengikut kepada posisi peranti.

Peranti ini menggunakan skrin jenis pOLED pada resolusi FHD+ dan menggunakan panel belakang jenis fabrik berwarna oren untuk membolehkan ia dilentur dan dibentuk. Tidak dinafikan peranti ini sememangnya menarik. Namun begitu, kita mungkin tidak akan dapat melihat teknologi ini digunakan dalam masa terdekat memandangkan ia masih lagi dalam peringkat konsep.

Lenovo ThinkBook Transparent

Teknologi skrin dilihat telah mencapai tahap yang lebih maju selepas Lenovo tampil dengan komputer riba ThinkBook Tranparent yang mirip seperti dalam filem Sci-fi. Seperti namanya, komputer riba ini menggunakan skrin jenis lutsinar secara sepenuhnya. Bermaksud, pengguna boleh melihat apa yang berada di sebalik skrin ketika menggunakannya.

ThinkBook Tranparent menggunakan skrin MicroLED bersaiz 17.3-inci dengan tahap lutsinar sekitar 55% apabila skrin menjadi hitam atau dimatikan. Apabila dihidupkan, tahap lutsinar akan dipertingkat dan akhirnya skrin menjadi lutsinar sepenuhnya dengan kecerahan puncak 1000 nits.

Komponen utama komputer riba ini diletakkan di bahagian bawah skrin dan menggunakan papan kekunci jenis touch-sensitive bukannya jenis fizikal seperti komputer riba biasa. Teknologi skrin lutsinar ini boleh dikatakan agak menarik namun ia dilihat tidak begitu pratikal. Kerana paparan yang diberikan tidak tajam dan perincian tidak begitu baik seperti mana komputer riba biasa.

OPPO Air Glass 3

OPPO turut memperlihatkan peranti konsep mereka pada acara MWC 2024 melalui OPPO Air Glass 3. Merupakan sebuah cermin mata realiti versi ketiga yang dimuatkan dengan pelbagai teknologi yang lebih maju berbanding model sebelumnya. Berbeza dengan cermin mata realiti lain, OPPO Air Glass 3 boleh mengakses kecerdasan buatan (AI) AndesGPT melalui arahan suara dan hasilnya akan dipaparkan pada permukaan cermin mata.

Untuk memberikan pengalaman paparan yang lebih baik, permukaan cermin mata OPPO Glass Air 3 kini 50% lebih terang dan jelas. Selain itu, ia mempunyai kecerahan puncak yang lebih tinggai iaitu 1000 nits dan indeks biasan pada 1.70.

Ia juga turut menyokong interaksi atau kawalan melalui sentuhan dan boleh melakukan panggilan telefon, sistem navigasi, mendengar muzik dan merakam video. Peranti ini dimuatkan dengan 4 mikrofon terbina yang menjanjikan pengalaman audio yang lebih baik dan berkualiti. OPPO Glass Air 3 ini boleh dikatakan mirip seperti Meta Smart Glasses namun ia mempunyai keupayaan yang lebih baik.

Walaubagaimanapun, OPPO Air Glass 3 adalah sebuah peranti konsep dan tidak lagi tersedia untuk pengguna. Idea cermin mata realiti ini dilihat lebih menarik dan praktikal berbanding set kepala realiti seperti Apple Vision Pro atau Meta Quest yang dilihat lebih besar dan berat.

ARTIKEL BERKAITAN