ASUS secara rasmi memperkenalkan peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu Zenfone 11 Ultra. Berbeza dengan penawaran sebelum ini, Zenfone 11 Ultra bukan lagi sebuah peranti kompak dan membawakan rekaan mirip seperti ROG Phone 8 Pro.
Dari segi rekaan, Zenfone 11 Ultra tampil dengan rekaan mirip seperti ROG Phone 8 Pro namun dengan beberapa perubahan seperti rekaan kamera dan kemasan panel belakang yang berbeza. Hadir dengan skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.78-inci dengan FHD+. Turut menyokong paparan 144Hz, kecerahan puncak 2500 nits dan dilindungi dengan Corning Gorilla Glass Victus 2.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang digabungkan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0. Bateri 5500mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 65W berwayar dan 15W tanpa wayar.
Buat pertama kali, ASUS menggunakan tetapan tri-kamera belakang pada siri Zenfone dengan sensor utama 50MP Sony IMX890 + 13MP Ultra Lebar + 32MP Telefoto. Kemampuan kamera ini turut dilengkapi dengan 6-axis Hybrid Gimball Stabilizer 3.0, dan 3x zum optikal.
Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti bicu audio 3.5mm, IP68, Wi-Fi 7, pengimbas cap jari bawah skrin, NFC dan menjalankan Zen UI berasaskan Android 14. Selain itu, ia turut hadir dengan pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI) seperti AI Transcript, AI Call Translation, AI Noise Cancellation, AI Bokeh dan AI Wallpaper.
Untuk harga jualan, Zenfone 11 Ultra dijual pada harga bermula sekitar €999 (RM5111) untuk 12GB + 256GB dan €1099 (RM5623) untuk 16/512GB. Tidak dapat dipastikan adakah peranti ini akan ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.