Google bakal membawakan fungsi ‘Find My Device’ baru yang setaraf dengan apa yang ditawarkan oleh Apple melalui ‘Find My’. Fungsi baru ini bakal membolehkan peranti dikesan atau dijejak biarpun peranti dimatikan.
Fungsi tersebut telah dikesan tersedia pada Android 15 dan siri Pixel 9 dijangka akan menjadi peranti terawal akan tiba dengan fungsi ini. Fungsi Find My Device baru ini memerlukan perkakasan tambahan dalam masa yang sama turut menggunakan peranti Android lain untuk memberi isyarat atau petunjuk. Dengan menggunakan perkakasan tambahan ia membolehkan peranti terus kekal mempunyai isyarat Bluetooh apabila peranti dimatikan.
Berbeza dengan fungsi sebelum ini, memerlukan akses rangkaian atau Bluetooth untuk memberi isyarat kepada peranti Android lain yang berada dalam jarak atau kawasan yang sama. Selain itu, peranti perlu berada dalam keadaan hidup untuk menggunakan fungsi ini.
Selain siri Pixel 9, laporan tersebut turut menyatakan yang fungsi ini berkemungkinan akan tersedia pada siri Pixel 8. Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah fungsi ini akan tersedia kepada semua peranti Android atau terhad kepada siri Pixel sahaja.